Klinik Temasya
BLOG (Versi BM)

Bagaimana untuk berbincang dengan pasangan anda tentang penyakit kelamin

By
Updated on:

Bercakap mengenai penyakit kelamin bukan lah topik mudah untuk dibincangkan bersama pasangan anda terutamanya diperingkat awal perkenalan. Ramai yang berasa cemas, takut, malu atau tidak tahu apa yang perlu untuk diperkatakan kepada pasangan. Ramai yang beranggapan jika mereka mula bercakap mengenai penyakit kelamin, bermakna mereka menghidapi penyakit kelamin atau ingin menuduh pasangan mempunyai jangkitan kelamin. Ramai juga yang takut akan ditinggalkan oleh pasangan. Fakta yang dikeluarkan oleh Badan Kesihatan Dunia (WHO), terdapat satu juta orang yang dijangkiti penyakit kelamin setiap hari! Ramai yang lebih senang melalukan'nya' daripada berbincang topik sukar seperti ini. Perbincangan hendaklah dilakukan diluar kamar sebelum anda melakukan hubungan intim.

Jika anda dan pasangan telah memutuskan untuk melakukan seks atau berkahwin, anda hendaklah berbincang secara terbuka mengenai penyakit kelamin. Sebelum berbincang dengan pasangan, berjumpa lah dengan doktor yang berpengalaman mengenai penyakit kelamin. Bawakan senarai soalan yang ingin ditujukan kepada doktor. Dapatkan maklumat yang sah dan tepat untuk memberikan anda keyakinan untuk berbincang dengan pasangan nanti. Lakukan penyiasatan anda sendiri dipelbagai laman sesawang yang ada. Anda juga boleh memilih untuk melakukan ujian saringan penyakit kelamin untuk mengetahui status kesihatan anda.

Hubungi kami untuk membuat temujanji ujian STD.

Di Malaysia, hanya jangkitan HIV sahaja yang perlu dilakukan sebagai syarat kesihatan sebelum berkahwin. Bagaimanapun, adalah lebih baik untuk anda dan pasangan melakukan juga ujian saringan penyakit kelamin lain seperti Chlamydia, Gonorrhoea, Sifilis dan Herpes. Berbincanglah secara telus dengan pasangan supaya anda dan pasangan dapat mengetahui status masing- masing serta dapat menikmati hubungan seks yang selamat tanpa merisaukan risiko jangkitan penyakit kelamin.

Adalah sangat penting anda merancang diskusi bersama pasangan kerana ianya bukan topik mudah untuk dibincangkan. Cipta suasana yang selesa dan senyap tanpa gangguan asing. Jika anda telah berkahwin, cari tempat dan suasana sesuai tanpa kehadiran anak- anak dirumah. Bersikap jujur dan terbuka semasa berbicara. 

Perhatikan reaksi pasangan anda. Tanyakan pandangan pasangan anda mengenai penyakit kelamin. Bertenang dan jelaskan hujah anda berdasarkan maklumat sah yang telah anda perolehi. Ini mengelakkan anda dari kelihatan seperti sedang menuduh atau menilai pasangan anda. Jadilah pendengar yang baik dan setia serta tunjukkan rasa hormat pada pasangan. Tanyakan kepada pasangan jika dia ingin melakukan ujian saringan penyakit kelamin. Jika ya, aturkan temujanji bersama dengan doktor supaya anda dan pasangan boleh mendapatkan maklumat dan nasihat tepat mengenai jangkitan penyakit kelamin. Lebih cepat anda dan pasangan melalukan ujian saringan, lebih awal pengesahan dapat dilakukan dan rawatan segera dapat dimulakan jika anda atau pasangan positif penyakit kelamin.

Tidak cukup untuk pasangan anda memberi jaminan bahawa dia 'bersih' daripada penyakit kelamin kerana dia tidak mempunyai gejala penyakit kelamin. Tidak mempunyai gejala tidak bermaksud bahawa seseorang itu bebas dari penyakit kelamin. Jika penyakit kelamin tidak dirawat awal, banyak kesan buruk pada kesihatan lelaki dan wanita termasuk radang dalam sistem peranakan serta ketidaksuburan.

Selain berbincang mengenai penyakit kelamin, anda dan pasangan perlu berbincang mengenai penggunaan kondom sebagai perlindungan serta jenis perancangan keluarga untuk mengelakkan kehamilan yang tidak dirancang. Adalah sangat penting untuk anda dan pasangan berbincang untuk kekal ekslusif dan bagaimana cara untuk mengelakkan risiko penyakit kelamin.

Perbincangan mengenai penyakit kelamin mungkin agak kekok dan boleh membuat anda dan pasangan rasa tidak selesa. Bagaimana pun, ia nya lebih mudah daripada mengetahui bahawa anda menghidapi penyakit kelamin selepas melakukan hubungan seks dan telah menyebarkannya kepada pasangan anda. Jika antara anda atau pasangan sah menghidap penyakit kelamin, memberitahui pasangan anda adalah penting sebagai tanda kepercayaan dan kesungguhan anda untuk menjalani kehidupan seks yang sihat serta membolehkan pasangan anda mendapat rawatan segera sebelum berlaku komplikasi yang lebih teruk. Penyakit kelamin adalah satu topik yang berstigma tinggi dalam masyarakat kita dan menghidapi penyakit kelamin tidaklah bermaksud anda 'kotor' atau 'jahat' kerana penyakit kelamin adalah sangat lazim berlaku.

Perbualan mengenai penyakit kelamin adalah langkah terbaik untuk anda mengetahui lebih dalam mengenai pasangan anda. Keterbukaan dalam isu-isu seperti  penyakit kelamin boleh menjadikan anda dan pasangan lebih rapat serta dapat menghilangkan kerisauan semasa berintimasi agar anda dan pasangan dapat menjalani kehidupan seks yang sihat. Jika anda dan pasangan ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai penyakit kelamin, berbincanglah dengan doktor kami diklinik.

Hubungi kami untuk membuat temujanji ujian STD.

Get the Care You Deserve. Make Your Appointment Today

We focus on you. Schedule today to experience healthcare that's tailored to your needs.