Klinik Temasya
BLOG (Versi BM)

Ekzema

By
Updated on:

Ekzema atau dipanggil 'atopic dermatitis' adalah penyakit kulit kronik yang menyebabkan kulit menjadi kering, gatal, merah dan tidak sekata. Ia nya sangat lazim berlaku, iaitu satu dalam 10 orang yang pernah mengalami masalah ekzema dalam hidup mereka. Ekzema biasanya berlaku pada waktu masih kecil seawal berusia 2 bulan. 60% peratus pesakit akan mendapat ekzema sebelum usia 1 tahun, 30% sebelum usia 5 tahun dan 10% antara umur 6 hingga 20 tahun. Jarang ekzema mula berlaku semasa waktu dewasa. Kebanyakan kanak-kanak yang menghidapi ekzema semakin pulih apabila mereka meningkat dewasa. Bagaimana pun, terdapat sebilangan kanak- kanak yang terus berhadapan dengan ekzema sepanjang waktu kedewasaan mereka.

Ekzema boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti keturunan, sistem pertahanan badan dan faktor luaran yang mengganggu pertahanan lapisan kulit. Antara nya faktor cuaca (ekzema teruk diwaktu musim sejuk, baik diwaktu musim panas), pemakaian (baju yang diperbuat dari bulu boleh menyebabkan gatal), tekanan perasaan, asap rokok, habuk, binatang peliharaan seperti kucing, debunga dan hama tilam. Terdapat juga faktor pemakanan terutamanya bila ekzema sangat teruk semasa kecil contohnya alergik pada makanan seperti susu, telor, kekacang dan soya.

Ekzema berkait rapat dengan 'atopy' iaitu apabila sistem pertahanan badan lebih sensitif dengan unsur luar yang kebanyakan tidak merbahaya melalui cara sentuhan, pemakanan dan udara. Antara penyakit atopi lain yang berkait dengan ekzema adalah resdung ('allergic rhinitis'), lelah ('asthma') dan kemerahan dan kegatalan pada lapisan mata disebabkan alergik ('allergic conjunctivitis').

Ekzema menyebabkan kulit menjadi radang, merah, bersisik serta berkerak dan merekah pecah sehingga menyebabkan kepedihan. Jangka masa panjang, kulit menjadi tebal. Kulit ekzema kronik juga lebih mudah untuk mendapat jangkitan bakteria atau virus seperti Staphylococcus Aureus dan Herpes akibat koyak lapisan atas kulit disebabkan aktiviti menggaru. Jangkitan kuman menyebabkan kawalan ekzema lebih sukar dan kegatalan yang lebih teruk terutamanya pada waktu malam.

Rawatan ekzema yang utama adalah dengan mengelakkan faktor- faktor luar yang boleh menyebabkan serangan ekzema yang lebih teruk, penggunaan kerap pelembap kulit, krim steroid atau 'calcineurin inhibitors,' rawatan cahaya (UV phototherapy), ubat immunosupresif (untuk mengurangkan tindakan imuniti badan) serta antibiotik atau ubat anti-virus jika terdapat jangkitan aktif.

Ekzema pada kanak-kanak terutama nya boleh mengganggu tumbesaran dan perkembangan fizikal, mental dan social, waktu tidur serta prestasi pembelajaran mereka. Jangka masa panjang, ekzema boleh memberi kesan psikologi seperti tekanan perasaan serta kurang keyakinan diri.

Jika anda mempunyai masalah ekzema, berbincang lah dengan doktor kami untuk rawatan lanjut.

Get the Care You Deserve. Make Your Appointment Today

We focus on you. Schedule today to experience healthcare that's tailored to your needs.