Fakta tentang andropause
Andropause adalah keadaan kesihatan lelaki dimana terdapat kekurangan hormon lelaki yang dinamakan testosteron. Ia nya kerap berlaku pada golongan lelaki yang berusia.
Perubahan hormon adalah merupakan perubahan semulajadi bagi lelaki dan wanita. Bagi golongan wanita, perubahan hormon terjadi lebih dramatik apabila putus haid menyebabkan pelbagai simptom berkaitan dengan menopause. Bagaimanapun, kekurangan hormon testosteron pada lelaki berlaku pada kadar senyap dan lebih perlahan. Organ testis, tidak seperti ovari tidak akan mengalami kekurangan bahan untuk menghasilkan hormon testosteron. Lelaki yang sihat mampu menghasilkan sperma hingga ke usia lanjut. Terdapat sedikit perubahan fungsi testis berlaku seawal umur 40-an ke 50-an dan lebih drastik selepas umur 70-an bagi sesetengah lelaki. Ini menyebabkan perdebatan rancak sama ada andropause adalah fenomena yang sebenar atau hanya mitos.
Pengesahan keadaan andropause berdasarkan beberapa faktor seperti terdapatnya simptom hormon testosteron rendah seperti kurang nafsu seks, kurang atau hilang episod zakar mengeras diwaktu pagi dan masalah mati pucuk serta bacaan hormon testosteron yang rendah dalam ujian darah. Bagaimanapun terdapat banyak perbezaan antara bacaan testosteron dengan kesan nya pada kesihatan seksual seseorang lelaki itu. Sesetengah lelaki mungkin mempunyai bacaan testosteron yang rendah dalam darah tanpa mengalami sebarang gejala.
Antara gejala dan tanda andropause adalah:
- Kurang nafsu atau minat untuk melakukan seks
- Kurang atau hilang ereksi spontan atau zakar mengeras diwaktu pagi atau kesukaran mendapatkan ereksi (mati pucuk)
- Kurang tenaga dan mudah penat
- Kemurungan dan cepat marah
- Kurang fokus
- Kurang motivasi dan keyakinan diri
- Kurang jisim dan kekuatan otot badan
- Perut semakin membuncit
- Kecut saiz organ seks seperti penis dan testis
- Ketidaksuburan
- Saiz payudara yang membesar
- Hilang ketinggian, patah tulang hanya dengan trauma minimal dan kerapuhan tulang
- Masalah tidur seperti sukar tidur atau tidur terlalu lama
- Janggut yang tumbuh perlahan atau hilang bulu pada badan
- Mudah rasa panas hangat pada muka dan leher ('hot flushes')
Testosterone mempunyai pelbagai kesan pada kesihatan fizikal, psikologi dan fungsi seks lelaki. Gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, minum minuman keras, makan yang berlebihan, kurang aktiviti bersenam, obes serta tekanan berlebihan dikaitkan dengan penuaan awal pada lelaki serta andropause. Kajian menunjukkan bahawa permulaan andropause yang awal dikaitkan dengan perkembangan pelbagai sindrom metabolik seperti lemak tinggi pada perut dan kebuncitan, tekanan darah tinggi, tinggi kolesterol, kencing manis dan kerintangan insulin yang menyebabkan risiko serangan jantung dimasa hadapan.
Jika anda mengalami gejala dan tanda andropause seperti diatas, doktor anda akan melakukan ujian hormon penuh untuk mengenalpasti punca lain kurang hormon testosterone seperti masalah testis disebabkan penyakit genetik, sejarah kecederaan pada testis disebabkan trauma atau jangkitan seperti mumps semasa kecil, penyakit haemochromatosis (zat besi berlebihan dalam darah), isu pada struktur otak (pituitari atau hypothalamis), penggunaan ubat seperti steroid dan rosak organ penting seperti jantung, hati dan buah pinggang. Doktor juga akan mengambil bacaan ukuran lilit pinggang, berat badan dan BMI, tekanan darah serta bacaan gula dan profil lemak dalam badan.
Jika paras hormon testosterone dalam badan anda rendah disertai dengan simptom yang disebutkan diatas, doktor akan merawat anda dengan menggantikan hormon testosteron dengan ubat hormon testosteron sintetik. Doktor akan berbincang dengan anda terlebih dahulu mengenai risiko dan faedah rawatan hormon testosteron, pengawasan ketat keberkesanan dan kesan sampingan serta kesan pada kesihatan jantung dan prostat anda.
Adalah penting untuk anda melakukan perubahan gaya hidup sihat seperti mengurangkan berat badan jika berat badan berlebihan atau obes, aktiviti senaman seperti cardio dan latihan kekuatan, diet sihat yang seimbang, berhenti merokok dan mengurangkan pengambilan minuman keras dan tekanan dalam kehidupan harian. Ini perlu dijadikan sebagai objektif penting jangka masa panjang bagi mengelakkan komplikasi serius dimasa hadapan.
Jika anda mengalami gejala dan tanda andropause, berbincanglah dengan doktor kami untuk maklumat dan ujian lanjut.