Jangan biarkan hidup anda terhenti dengan menopaus
Menopaus atau putus haid adalah petanda tamatnya kitaran haid. Ia berlaku apabila kitaran haid terhenti sekurang-kurangnya selepas 12 bulan menandakan berakhirnya kesuburan dan kemampuan reproduksi wanita. Menopause boleh berlaku seawal umur 45 tahun sehingga 50-an dan purata umur menopaus biasanya adalah 52 tahun. Ramai wanita yang melalui fasa menopaus dengan mudah tanpa sebarang gejala, tetapi terdapat juga wanita yang mengalami pelbagai gejala fizikal dan psikologi yang merunsingkan seperti rasa panas dan gangguan emosi disebabkan penurunan tahap estrogen dalam badan.
Dalam beberapa bulan sebelum menopaus atau dipanggil waktu pramenopaus, wanita akan mengalami beberapa tanda dan gejala antaranya:
- Kitaran haid yang tidak teratur
- Kekeringan pada vagina
- Kerap kencing dan masalah terkucil (inkontinen urin)
- Rasa panas bahang dimuka dan leher
- Sakit kepala
- Jantung berdebar
- Berpeluh diwaktu malam
- Sukar tidur
- Cepat marah
- Berat badan bertambah, metabolisme badan rendah menyebabkan sukar menurunkan berat badan
- Payudara kendur
- Rambut menipis
- Kulit kering
- Gangguan seks, kurang nafsu seks
- Sakt sendi
Biasanya tidak perlu sebarang ujian klinikal untuk kepastian menopaus. Menopaus boleh dikenalpasti berdasarkan gejala yang dialami dan sejarah kitaran haid pesakit. Bagaimana pun jika haid putus terlalu awal pada wanita yang masih muda, ujian hormon perlu dilakukan untuk mengenalpasti punca lain seperti kehamilan, masalah tiroid, PCOS dan kegagalan ovari pramatang. Imbasan organ pelvis juga boleh dilakukan untuk memeriksa ketebalan dinding rahim. Bagi wanita yang menopaus, dinding rahim menipis dan biasanya kurang dari 5 mm.
Adalah penting untuk wanita yang mengalami fasa menopaus untuk melakukan saringan ujian risiko jantung bagi mengenalpasti penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol berlebihan. Ujian saringan pap smear untuk mengesan kanser serviks dan mammogram pula untuk mengesan kanser payudara juga perlu dilakukan. Ujian ketumpatan tulang atau BMD boleh dilakukan untuk menilai profil ketumpatan tulang dan menyaring masalah kerapuhan tulang (osteporosis) yang dipercepatkan apabila seseorang wanita itu memasuki fasa menopaus
Rawatan menopaus bergantung kepada kehendak pesakit dan keterukan gejala menopaus selepas perbincangan mengenai kelebihan dan risiko rawatan menopaus bersama doktor yang merawat. Terdapat makanan tambahan seperti Evening Primrose oil (EPO), phytoestrogens dari sumber seperti kacang soya dan Cimicifuga extract (black cohosh) yang boleh melegakan simptom menopaus
Terapi penggantian hormon atau HRT adalah rawatan efektik bagi menopaus terutamanya apabila gejala menopaus mengganggu kualiti kehidupan harian. Bagaimana pun, dos hormon yang paling rendah dan jangka masa rawatan yang paling pendek adalah lebih baik. Terdapat pelbagai jenis rawatan hormon termasuklah ubat luar (krim, tampalan, tablet vagina) dan tablet makan yang boleh diberikan secara kitaran atau berterusan. HRT juga mempunyai kebaikan mencegah kerapuhan tulang. Risiko HRT termasuklah pembentukan darah beku menyebabkan angin ahmar dan DVT, kanser payudara dan serangan jantung perlu lah dibincangkan bersama pesakit sebelum memulakan rawatan hormon HRT
Amalkan gaya hidup sihat dengan kerap bersenam dan pengambilan makanan seimbang tinggi serat bijirin, sayur dan buah-buahan. Selain dari itu, amalkan pemakanan tambahan seperti kalsium dan vitamin D dan mengambil pemakanan tenusu seperti susu dan yogurt bagi menguatkan tulang. Lakukakan aktiviti senaman seperti berjalan, joging dan senaman kekuatan otot
Gunakan pelincir vagina bagi mengurangkan kekeringan vagina dan kesakitan semasa aktiviti seks. Lakukan senaman otot pinggul (senaman Kegel) bagi membantu masalah terkucil dan rahim jatuh
Elakkan pemakaian baju yang tebal dan berlapis serta faktor yang boleh menyebabkan bahang panas seperti matahari, meminum air panas atau makanan pedas, minuman keras dan stress. Dapatkan tidur yang cukup iaitu 7-8 jam semalam.
Kesan perubahan fizikal, psikologi dan emosi berkaitan dengan menopaus boleh menyebabkan kerunsingan tetapi ia bukan lah penentu utama kegirangan hidup anda. Menopaus perlu dilihat sebagai satu judul baru dalam hidup anda dan perlu diraikan dengan berlapang dada dan tenang. Ambil masa ini untuk mencermin dan menilai gaya hidup dan tahap kesihatan serta memberi keutamaan masa untuk penjagaan diri anda.