Cegah lelah (asma) sebelum parah
Lelah atau asma adalah penyakit paru-paru jangka masa panjang yang dihidapi oleh ramai kanak-kanak dan orang dewasa. Asma menyebabkan keradangan paru-paru menjadikan rongga paru-paru bengkak dan sempit menyukarkan aliran oksigen kedalam paru-paru. Terdapat beberapa faktor pencetus serangan asma seperti jangkitan virus, merokok, habuk, sel kulit mati atau bulu haiwan, aktiviti senaman, minyak wangi, asap, perubahan cuaca ke suhu yang rendah, debunga dan hama yang biasa membiak dikatil dan sofa.
Gejala dan pencetus asma berbeza bagi setiap individu. Corak serangan asma mengikut variasi diurnal iaitu gejala lebih teruk berlaku pada waktu malam dan jika simptom berterusan diwaktu siang, simptom akan menjadi lebih teruk semasa waktu tidur dan awal pagi. Antara gejala asma adalah batuk, sukar bernafas, pernafasan bersiul (wheezing) dan sakit dada. Asma yang tidak dikawal dengan baik dikalangan kanak-kanak boleh membantutkan tumbesaran dan perkembangan mereka. Asma biasanya mempunyai komponen genetik berkait dengan penyakit atopi seperti resdung dan ekzema
Asma tidak boleh disembuhkan. Tujuan rawatan asma adalah pencapaian kawalan asthma yang baik dan mengurangkan risiko serangan asma. Kawalan asma yang baik dapat dicapai dengan mematuhi tatacara penggunaan ubat penyedut asma yang betul serta mengelakkan faktor pencetus asma dan mengamalkan gaya hidup sihat seperti merokok dan kegemukan
Terdapat tiga jenis ubat penyedut yang biasa digunakan oleh pesakit asma iaitu ubat penyedut pelega (reliever), ubat pencegah (preventer) dan ubat pengawal (controller). Ubat penyedut pelega memberi kelegaan cepat dalam masa beberapa minit dengan membuka rongga pernafasn bagi membloehkan oksigen mengalir masuk ke dalam paru-paru dengan lancar contohnya seperti Salbutamol dan Ipratropium. Ubat pengawal memberi kesan lebih lama berbanding ubat penyedut pelega seperti Formoterol dan Salmeterol. Ia diberikan jika ubat pencegah tidak dapat mengawal simptom asma and biasanya diberikan dengan kombinasi ubat pencegah seperti Seretide. Ubat pencegah pula mengandungi steroid bagi mengurangkan keradangan dalam rongga paru-paru dan mengurangkan risiko serangan asma.
Pesakit yang menghidapi asma mungkin perlu menggunakan ubat penyedut setiap hari bergantung kepada kekerapan dan keterukan gejala mereka. Ubat penyedut pelega tidak boleh digunakan setiap hari kerana ia mempunyai kesan sampingan seperti sakit kepala, menggigil dan jantung berdebar. Jika anda menggunakan ubat penyedut pelega terlalu kerap, ini bermakna kawalan asma anda tidak optimal. Ubat penyedut pencegah dan pengawal perlu ditambah bagi kegunaan harian untuk mendapatkan kawalan asma yang lebih lebih
Teknik penyedutan yang betul adalah amat penting bagi kawalan asma yang baik. Ia nya mungkin sukar untuk menyelaraskan pernafasan ketika menggunakan ubat penyedut terutamanya kanak-kanal semasa waktu kecemasan. Gunakan spacer iaitu bekas plastik bersama ubat penyedut. Tanya kan kepada doktor anda mengenai teknik penyedutan yang betul bagi memastikan ubat asma anda dapat masuk kedalam paru-paru dan memberikan kesan terbaik.
Penggunaan pelan tindakan asma secara bertulis (WAAP) adalah penting untuk membantu pesakit asma memantau simptom mereka dirumah dan bila perlu menambah sendiri dos ubat penyedut mereka jika simptom menjadi teruk dan waktu untuk pergi ke unit kecemasan dengan segera. Pesakit asma dan keluarga mereka perlu lah mendapatkan pendidikan tepat supaya mereka dapat memahami tentang penyakit asma, rawatan, faktor pencetus dan bagaimana untuk mengawal gejala asma mereka dirumah.
Jika anda mempunyai penyakit asma dan mempunyai sebarang pertanyaan mengenai asma, berjumpa lah dengan doktor kami untuk maklumat lanjut