Klinik Temasya
BLOG (Versi BM)

Kerapuhan tulang 

By
Updated on:

'Osteporosis' atau kerapuhan tulang merupakan masalah tulang yang berlaku disebabkan kekurangan ketumpatan tulang menyebabkan tulang rapuh dan mudah patah. Kerapuhan tulang berlaku apabila pembentukan tulang yang baru tidak dapat menampung kehilangan tulang yang sudah lama.

Patah tulang disebabkan masalah kerapuhan tulang terutamanya tulang pinggul dan tulang belakang telah dikenalpasti penyebab besar masalah kesihatan terutamanya pada golongan berusia. Ia boleh menyebabkan risiko kematian dan morbiditi tinggi serta memerlukan jangka masa tinggal dihospital yang lama dan penjagaan rapi diinstitusi seperti rumah penjagaan. 

Kerapuhan tulang adalah masalah yang kurang dikenalpasti dan dirawat di Malaysia dibuktikan melalui kurangnya kajian mengenai kelaziman masalah ini di Malaysia. Ia nya dikenali sebagain 'pembunuh senyap' kerana kehilangan ketumpatan tulang berlaku secara senyap tanpa sebarang gejala sehingga menyebabkan tulang rapuh dan patah tanpa atau sedikit kekuatan trauma. Kadangkala pesakit mungkin mengalami sakit tulang belakang berpanjangan disebabkan patah tulang belakang, ketinggian berkurangan dan struktur badan yang semakin membongkok.

Terdapat beberapa risiko kerapuhan tulang antaranya adalah pertambahan usia, jantina (wanita lebih tinggi risiko), keturunan (tinggi risiko bagi bangsa Caucasian dan Asian), sejarah patah tulang, status menopause (risiko meningkat selepas menopause), merokok, kurang bersenam, minum minuman keras dan mengandungi kafein seperti kopi yang banyak serta kurang berat badan (rendah BMI). Anda juga berisiko tinggi untuk mendapat tulang rapuh jika mempunyai masalah kesihatan seperti tiroid, mengambil ubat seperti steroid, ubat sawan serta tidak mengambil makanan yang mengandungi tinggi kalsium dalam diet harian.

Kerapuhan tulang boleh disaring dengan menggunakan soal selidik seperti OSTA dan FRAX skor yang dapat mengenalpasti risiko kerapuhan tulang serta risiko untuk mendapat patah disebabkan masalah kerapuhan tulang. Doktor yang merawat anda juga akan membuat ujian darah seperti full blood count, ujian buah pinggang dan hati, kalsium, vitamin D, testosterone dan ujian tiroid serta ujian BMD. Ujian BMD dilakukan dengan imbasan dual-energy x-ray absorptiometry (DEXA) yang digunakan untuk mengesahkan kerapuhan tulang serta pemantauan kesan rawatan yang telah diberikan. Kerapuhan tulang didefinisikan apabila BMD lebih dari -2.5 sisihan piawai (standard deviation, SD) T- skor (untuk standard orang dewasa muda) dan bagi tahap awal kerapuhan tulang ('osteopenia') pula adalah T-skor antara -1.0 hingga -2.5. 

Walaupun terdapat peningkatan golongan berusia di Malaysia serta kadar kes jatuh melibatkan golongan berusia, kesedaran mengenai masalah kerapuhan tulang serta kesihatan dan penjagaan tulang masih rendah dalam masyarakat kita.

Apakah langkah yang perlu dilakukan untuk mengelakkan kerapuhan tulang dan meningkatkan tahap kesihatan tulang? 

  • Mempraktikkan gaya hidup sihat dengan memastikan berat badan sihat, iaitu BMI 18 ke 24
  • Kerap bersenam seperti aktiviti berjalan laju, joging, berdansa dan senaman regangan 
  • Berhenti merokok
  • Mengurangkan minum minuman keras
  • Mengurangkan minum minuman berkafein seperti kopi dan teh kepada 1-2 cawan sahaja sehari. Minuman berkafein boleh mengurangkan penyerapan kalsium 
  • Mengelakkan dari jatuh dengan memasang batang besi pemegang dibilik air, pencahayaan terang serta mengelakkan penggunaan karpet dan barang hiasan yang terlalu banyak sehingga mengganggu laluan didalam rumah
  • Mendapatkan vitamin D semulajadi daripada matahari pagi
  • Makan makanan yang mengandungi tinggi kandungan kalsium atau mengambil pil suplemen seperti kalsium dan vitamin D
  • Melakukan ujian saringan kesihatan secara berkala serta pemeriksaan tahap hormon dan profil tulang

Selain pil suplemen kalsium dan vitamin D, ubat lain seperti Biphosphonates (contohnya Alendronate, Risendronate) dapat menghalang kehilangan tulang serta ubat suntikan Denosumab yang diberikan setiap 6 bulan. Wanita yang telah menopause juga dapat menikmati faedah pencegahan kerapuhan tulang jika mereka menggunakan ubat seperti ubat penggantian hormon (HRT). Bagaimana pun ubat penggantian hormon (HRT) tidak boleh digunakan sebagai ubat utama untuk pencegahan kerapuhan tulang disebabkan pelbagai risiko lain

Masalah kerapuhan tulang bukan lah proses semulajadi penuaan dan ia boleh dicegah dan dirawat jika dapat dikesan pada peringkat awal. Jika anda risau mengenai kerapuhan tulang dan mempunyai persoalan tentang kesihatan tulang anda, berbincanglah dengan doktor kami untuk maklumat lanjut.

Get the Care You Deserve. Make Your Appointment Today

We focus on you. Schedule today to experience healthcare that's tailored to your needs.