Klinik Temasya
BLOG (Versi BM)

Masalah ketidaksuburan

By
Updated on:

Masalah ketidaksuburan boleh didefinisikan sebagai kegagalan untuk mencapai kehamilan dalam masa satu tahun walaupun dengan aktiviti seks kerap tanpa perlindungan atau kaedah perancangan keluarga. Pemeriksaan tahap kesuburan kebiasaannya dibuat selepas 12 bulan tetapi boleh dilakukan lebih awal jika terdapat risiko tinggi ketidaksuburan seperti pasangan wanita berusia lebih dari 35 tahun.

Masalah ketidaksuburan boleh dibahagikan kepada 1 per 3 bahagian disebabkan pasangan lelaki, 1 per 3 bahagian disebabkan pasangan wanita dan 1 per 3 disebabkan faktor lelaki dan wanita atau tiada sebab yang ditemui. Untuk mendapatkan kehamilan, pasangan wanita perlu lah menghasilkan telor matang atau ovulasi dan pasangan lelaki mestilah mempunyai bilangan serta morfologi sperma normal yang sihat. Hubungan seks mestilah berlaku pada waktu subur pasangan wanita bagi membolehkan persenyawaan dan proses penempelan berlaku pada dinding rahim.

Terdapat beberapa faktor umum dan khusus penyebab ketidaksuburan. Faktor umum bagi kedua-dua pasangan adalah faktor umur yang berusia, berat badan yang tidak sihat (terlalu kurus atau berat berlebihan), merokok, pengambilan minuma keras, kurang bersenam atau senaman berlebihan, mempunyai masalah kesihatan kronik seperti kencing manis, gangguan penyakit tiroid, penyakit autoimmune, pengambilan ubat seperti ubat kemurungan dan masalah psikology seperti kemurungan, kerisauan dan tekanan melampau. 

Sebab khusus ketidaksuburan untuk pasangan lelaki pula adalah masalah genetik (Klinefelter syndrome), testis tidak turun ke kantung skrotum (undescended testis), radang pada sktruktur peranakan seperti epididymis disebabkan penyakit kelamin serta masalah seksual seperti ejakulasi pra-matang dan mati pucuk.

Sebab khusus ketidaksuburan untuk pasangan wanita pula adalah seperti masalah hormon (PCOS, tinggi prolactin, gangguan tiroid), radang pada struktur peranakan disebakan penyakit kelamin, masalah struktur (endometriosis, fibroid, adenomyosis), parut disebabkan pembedahan (Asherman syndrome), masalah genetik (Turner's syndrome) dan kegagalan ovari awal disebabkan faktor seperti radiasi atau rawatan kimoterapi.

Pengesahan faktor ketidaksuburan bagi pasangan wanita boleh dilakukan dengan mengambil sejarah lengkap kitaran haid, kekerapan seks, sejarah perubatan, pembedahan, pengambilan ubat-ubatan, sejarah kehamilan dan penyakit ginekology serta sejarah social pesakit. Ujian yang diperlukan adalah ujian hormon lengkap termasuk tahap hormon testosterone, fungsi tiroid dan tahap hormon progesteron (pada hari ke-21), saringan penyakit kelamin dan imbasan organ pelvis. 

Bagi pasangam lelaki pula ujian yang perlu dilakukan adalah analisis cairan sperma, profil hormon, saringan penyakit kelamin dan imbasan organ testis.

Bagi 10–15% pasangan, faktor penyebab ketidaksuburan tidak dapat dikenalpasti walaupun ujian lengkap telah dijalankan kepada kedua-dua pasangan. Rawatan kesuburan termasuklah ubat-ubatan untuk meransang ovulasi serta kaedah kesuburan seperti permanian beradas (IUI), persenyawaan in-vitro (IVF) dan suntikan sperma intracytoplasmic (ICSI).

Pasangan yang ingin hamil dinasihatkan mengenai kadar serta posisi seks ideal serta mengenalpasti waktu subur pasangan wanita iaitu 5 hair sebelum serta hari jangkaan berlakunya proses ovulasi. Kedua-dua pasangan digalakkan untuk berhenti merokok dan minum minuman keras atau dadah merbahaya serta mengurangkan pengambilan minuman berkafein bagi pasangan wanita. Pasangan juga mestilah mengamalkan gaya hidup sihat seperti diet seimbang dan bersenam. 

Ketidaksuburan boleh memberi impak negatif kepada setiap pasangan yang ingin memulakan keluarga serta mengganggu keharmonian rumah tangga. Adalah sangat penting untuk anda dan pasangan melakukan ujian awal dan berbincang dengan doktor yang berpengalaman mengenai isu kesuburan bagi membolehkan anda dan pasangan mendapatkan kehamilan sempurna.

Get the Care You Deserve. Make Your Appointment Today

We focus on you. Schedule today to experience healthcare that's tailored to your needs.