Klinik Temasya
BLOG (Versi BM)

Mati pucuk (erectile dysfunction)

By
Updated on:

Mati pucuk didefinisikan sebagai kegagalan mencapai ereksi berterusan atau  mengekalkan ketegangan ereksi zakar bagi membolehkan penetrasi seks berlaku dalam jangka waktu lebih kurang  3 bulan. Ia adalah gangguan seksual paling lazim berlaku pada lelaki. Masalah ereksi mungkin berlaku dari masa ke semasa dan tidak semestinya menjadi masalah besar. Bagaimanapun jika ia berterusan, ia mungkin adalah tanda awal penyakit jantung terutamanya dikalangan lelaki muda. Mati pucuk boleh memberi kesan negatif pada individu fizikal, psikologi, emosi individu dan mengganggu keharmonian intimasi bersama pasangan

Risiko penyebab masalah mati pucuk adalah pertambahan usia, merokok, berat badan berlebihan dan obes, kurang bersenam, pengambilan minuman keras, mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan tinggi kolesterol, tekanan, masalah psikologi seperti kemurungan dan kerisauan melampau dan mengambil ubat-ubatan seperti untuk rawatan prostat, kemurungan dan darah tinggi. 

Mati pucuk lebih kerap berlaku pada lelaki berusia 40 tahun keatas. Bagaimanapun terdapat 1 per 4 kes kes mati pucuk berlaku pada lelaki berusia 40 tahun kebawah. Ini disebabkan beberapa faktor seperti ketagihan menonton bahan pornografi, tekanan hidup yang tinggi serta gaya hidup yang tidak sihat.

Terdapat beberapa punca penyebab mati pucuk. Antaran yang utama adalah disebabkan masalah saluran darah. Masalah perubatan adalah penyebab utama dalam 80% kes mati pucuk. Antara penyebab mati pucuk adalah:

  • Masalah saluran darah (vasculogenic): sakit jantung, saluran darah kaki yang tidak lancar (peripheral vascular disease), darah tinggi, tinggi kolesterol, kencing manis dan merokok
  • Masalah saraf (neurogenic): angin ahmar, penyakit Parkinson, multiple sclerosis, masalah tulang belakang, kencing manis, rosak saraf selepas pembedahan prostat
  • Masalah struktur (anatomical): penyakit Peyronie's, hypospadias, micropenis (saiz penis kecil)
  • Masalah hormon (hormonal): rendah testosteron, gangguan tiroid, tinggi paras prolaktin
  • Kesan sampingan ubat untuk darah tinggi, kemurungan, steroid anabolik dan dadah terlarang
  • Kecedaraan pada zakar atau struktur pelvis

Sebanyak 10% kes disebabkan faktor psikologi disebabkan tekanan berlebihan, kerisauan prestasi, kemurungan, masalah hubungan (pasangan baru, kurang berkomunikasi, kurang tarikan pada pasangan). Lebih kerap, mati pucuk adalah disebabkan kombinasi masalah kesihatan perubatan dan psikologi.

Doktor akan mengambil sejarah seksual anda menggunakan beberapa soal selidik serta ujian untuk mengenalpasti punca mati pucuk seperti ujian hormon, kencing manis, profil lemak dan kesihatan menyeluruh. Rawatan bergantung kepada sebab antaranya adalah perubahan gaya hidup sihat seperti berhenti merokok, kerap bersenam, menurunkan berat badan, mengurangkan pengambilan minuman keras serta mengelakkan menonton bahan pornografi yang berlebihan. Pesakit yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi mungkin perlu mengambil ubat-ubatan untuk mengawal kadar gula dan darah tinggi ke paras yang optimal.

Rawatan perubatan adalah dengan menggunakan ubat-ubatan PDE5- inhibitors seperti Viagra dan Cialis yang boleh membuka saluran darah bagi membenarkan darah mengalir ke struktur penis. Kesan sampingan ubat-ubat ini adalah adalah sakit kepala, kemerahan pada kulit, pusing kepala serta penglihatan yang tidak normal. Kaedah rawatan lain adalah dengan rawatan hormon testosteron jika rendah testosteron, suntikan pada zakar (intracavernosal), implan zakar, suntikan ubat pada bukaan zakar (intraurethral), alatan vakum penis, suntikan PRP (P-shot) dan terapi shockwave. 

Mati pucuk boleh menyebabkan kerunsingan berpanjangan pada ramai lelaki. Rasa malu yang tinggi menyebabkan ramai lelaki segan untuk mendapatkan rawatan awal. Adalah sangat penting untuk mengenalpasti mati pucuk adalah amaran pembunuh senyap disebabkan serangan jantung mengejut. Adalah sangat penting untuk anda mendapatkan rawatan awal dan langkah pencegahan agresif bagi mengelakkan komplikasi dimasa hadapan. 

Jika anda mempunyai sebarang masalah berkaitan dengan gangguan seks dan kesihatan seks, datanglah ke klinik kami untuk maklumat lanjut.

Get the Care You Deserve. Make Your Appointment Today

We focus on you. Schedule today to experience healthcare that's tailored to your needs.