Pembengkakan Prostat Bukan Kanser (BPH)
Pembengkakan prostat bukan kanser atau benign prostatic hyperplasia (BPH) adalah ketumbuhan bukan kanser kelenjar prostat dan merupakan salah satu ketumbuhan bukan barah yang lazim terjadi dikalangan golongan lelaki. Prostat yang membesar akan menghalang saluran air kencing menyebabkan air kencing terkumpul didalam pundi kencing. Dinding pundi kencing akan menebal dan menjadi lemah menyebabkan kencing tidak lawas dan mudah terkucil. Pembengkakan prostat lebih kerap berlaku pada lelaki berusia. Sebanyak 50% lelaki berusia 51 hingga 60 tahun dan sehingga 90% lelaki lebih 80 tahun mengalami masalah ini.
Gejala pembengkakan prostat bukan kanser adalah gangguan air kencing melibatkan saluran air kencing bawah seperti kerap kencing, kerap bangun malam untuk kencing, terkucil, meneran untuk menolak kencing keluar dan aliran kencing yang perlahan dan menitik dihujungnya. Kadangkala terdapat gejala seperti sakit bawah perut, pedih semasa membuang air kecil dan darah dalam air kencing. Pembengkakan prostat bukan kanser boleh melarat jika tidak dirawat menyebabkan air kencing berkumpul dalam pundi kencing dengan banyaknya sehingga terjadi jangkitan kuman serta aliran kencing menuju keatas ke arah buah pinggang menyebabkan rosak buah pinggang.
Pengesahan boleh dilakukan secara klinikal berdasarkan gejala yang dialami pesakit serta pemeriksaan kelenjar prostat yang menunjukkan prostat bengkak dengan permukaan prostat licin. Jika terdapat benjolan tidak rata serta permukaan kasar dan tidak simetri, ujian pengesahan kanser prostat mestilah dijalankan. Terdapat ujian lain yang perlu dilakukan termasuk ujian air kencing, bacaan PSA, fungsi buah pinggang, ujian saringan kencing manis serta imbasan prostat, saluran air kencing, pundi kencing dan buah pinggang.
Rawatan pembengkakan prostat bukan kanser adalan bertujuan untuk mengurangkan simptom dan mengelakkan komplikasi jangka masa panjang. Ini boleh dibahagikan kepada perubahan gaya hidup, ubat-ubatan serta pembedahan.
Perubahan gaya hidup adalah dengan mengurangkan pengambilan air pada waktu malam, mengurangkan pengambilan minuman berkafein seperti kopi dan teh serta minuman keras. Pesakit juga digalakkan melakukan senaman kerap serta senaman lantai otot pelvis, mengurangkan berat badan jika berat badan berlebihan, mengelakkan sembelit dengan meningkatkan pemakanan fiber, buah dan sayur-sayuran. Pesakit juga dinasihatkan untuk mempraktiskan double voiding atau dua kali kencing dimana pertama kali pesakit hendaklah kencing sepenuhnya, kemudian rehat beberapa minit dan kemudiannya kencing semula. Semasa waktu rehat, rehatkan otot punggung dan elakkan meneran atau menolak pundi kencing untuk mengeluarkan air kencing.
Untuk ubat- ubatan pula, terdapat dua jenis ubat yang lazim diberikana iaitu Alpha blockers dan 5-alpha reductase inhibitors. Alpha blockers seperti Alfuzosin dan Doxazosin adalah rawatan pertama yang biasanya diberikan. Ia bertindak merehatkan otot licin dibahagian prostat dan tengkuk pundi kencing bagi mengurangkan halangan aliran kencing. Kesan sampingan adalah rasa pening dan pusing apabile berdiri, sakit kepala, berdebar, hidung tersumbat dan masalah seksual ejakulasi dan ereksi seperti mati pucuk.
Ubat 5-alpha-reductase inhibitor seperti Finasteride dan Dutasteride pula bertindak menghalang penghasilan dihydrotestosterone (DHT), iaitu hormon yang menyebabkan kelenjar prostat membesar. Ia biasanya digunakan bersama dengan ubat Alpha blockers. Kesan sampingan adalah kurang nafsu seks dan masalah seksual ejakulasi dan mati pucuk. Ubat lain yang digunakan adalah seperti PDE5-inhibitor bersama dengan 5 alpha-reductase inhibitor dan ubat antikolinergik seperti Tolterodine yang mampu mengurangkan penguncupan terlalu aktif pundi kencing.
Jika tiada perubahan selepas mengambil ubat-ubatan, pembedahan adalah salah satu rawatan untuk masalah ini. Transurethral resection of the prostate (TURP) adalah pembedahan lazim dilakukan untuk mengatasi masalah pebengkakan prostat bukan kanser. Kesan daripada pembedahan adalah masalah ejakulasi, mati pucuk, terkucil serta parut menyebabkan kesempitan saluran kencing.
Jika anda mengalami masalah pembuangan air kecil atau masalah prostate, berbincanglah dengan doktor kami untuk maklumat lanjut.