Klinik Temasya
BLOG (Versi BM)

Penyakit buah pinggang kronik

By
Updated on:

Buah pinggang atau ginjal adalah dua organ berbentuk kacang ginjal bersaiz sebesar penumbuk terletak dibawah tulang rusuk disebelah tulang belakang. Walaupun bersaiz kecil, buah pinggang memainkan banyak peranan penting pada kesihatan tubuh. Buah pinggang bertindak sebagai organ perkumuhan membuang bahan buangan toksik badan melalui air kencing dan juga air berlebihan keluar dari badan. Buah pinggang juga berperanan mengekalkan keseimbangan kandungan air, garam dan mineral seperti sodium, potassium dan kalsium dalam darah yang penting untuk fungsi normal sel saraf, otot dan tisu badan. Buah pinggang juga berperanan menghasilkan hormon mengatur tekanan darah, pembuatan sel darah merah dan memastikan tulang kuat dan sihat.

Penyakit buah pinggang kronik atau CKD adalah kemerosotan fungsi buah pinggang secara berperingkat dan merupakan beban kesihatan awam yang tinggi disebabkan ramai pesakit yang akhirnya mengalami kegagalan buah pinggang dan memerlukan sokongan dialisis. Di Malaysia bilangan pesakit yang memerlukan sokongan dialisis adalah tinggi dan semakin meningkat menyebabkan beban kewangan kepada sektor kesihatan awam negara.  Peningkatan ini adalah disebabkan beberapa faktor seperti pertambahan kes penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi serta bilangan warga tua dinegara ini.

Risiko penyebab penyakit buah pinggang kronik adalah pertambahan usia, kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, merokok, obes dan mempunyai keturunan penyakit buah pinggang. Punca lain selain daripada penyakit kronik adalah radang pada struktur dalaman sel penapis dalam buah pinggang dipanggil glomerulus dan radang pada tubul buah pinggang disebabkan kesan ubat-ubatan, jangkitan kuman, penyakit autoimun, penyakit polycystic buah pinggang, masalah bengkak prostat, batu karang dan kanser serta vesicoureteral refluks (keadaan dimana air kencing berpatah balik ke buah pinggang).

Penyakit buah pinggang kronik adalah penyakit senyap dan ramai pesakit yang tidak mengalami sebarang gejala hinggalah tahap akhir. Kenyataan nya seseorang itu masih boleh kekal sihat hidup sihat hanya dengan satu sahaja buah pinggang. Ini menyebabkan banyak pesakit hanya dikenalpasti pada tahap lewat dan telah menunjukkan gejala agresif kegagalan buah pinggang. Antara nya adalah bengkak pada kaki, muka dan tangan, mudah penat, kerap sakit kepala, kurang ketajaman minda, kulit gatal dan kering, kerap kebas kaki dan tangan, kurang selera makan, turun badan badan, loya, muntah, otot mudah kejang, sukar tidur, sakit dada, sukar bernafas, kurang kencing dan kadangkala kekeliruan mental dan koma.

Penyakit buah pinggang adalah risiko utama penyakit jantung dan salur darah. Jika ia dapat dikesan dan dirawat awal, risiko kegagalan buah pinggang dapat diperlahankan atau dielakkan. Jadi amatlah penting untuk memeriksa tekanan darah serta melakukan ujian darah dan air kencing secara berkala dan mengenalpasti risiko awal penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.

Bagaimana kan cara lain untuk mengelakkan atau merawat penyakit buat pinggang kronik? Antaranya adalah:

  • Mengekalkan berat badan sihat. Jika anda mempunyai berat badan berlebihan atau obes, berbincanglah dengan doktor tentang strategi untuk mengurangkan berat badan dengan sihat
  • Kerap bersenam sekurang-kurangnya 150 minit setiap semininggu 
  • Berhenti merokok
  • Kurangkan pengambilan minuman keras 
  • Baca label pada makanan dan minuman dan pilih juadah mengandungi rendah lemak tepu dan kolesterol, garam (sodium) dan gula. Berhati-hati dengan kandungan garam dan gula yang tersorok terutamanya dalam makanan segera atau makanan yang dibeli direstoren
  • Berhati-hati apabila mengambil ubat-ubatan seperti ubat tahan sakit atau anti-radang seperti Aspirin dan NSAIDS. Pengambilan ubat-ubat sebegini yang terlalu kerap boleh merosakkan buah pinggang dan harus dielakkan jika anda telah mempunyai penyakit buat pinggang 
  • Minum air yang banyak untuk kekalkan hidrasi badan 
  • Dapat kan tidur yang cukup dan kurangkan tekanan dalam kehidupan harian
  • Jika anda mempunyai masalah penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi, pastikan anda mengambil ubat-ubat yang diarahkan doktor dengan disiplin dan pastikan bacaan gula dan tekanan darah berada pada tahap optimal. Doktor akan menasihatkan anda ubat-ubatan yang dapat memperlahankan proses kemerosotan dan perlindungan buat pinggang

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan mengenai kesihatan buah pinggang atau kesihatan umum, datanglah ke klinik kami untuk maklumat lanjut

Get the Care You Deserve. Make Your Appointment Today

We focus on you. Schedule today to experience healthcare that's tailored to your needs.