Penyakit gout
Penyakit gout dahulunya dikenali sebagai penyakit golongan diraja dan bangsawan yang kaya kerana ianya kerap berlaku pada golongan ini disebabkan kemewahan makanan berprotein tinggi yang mahal seperti daging dan juga arak. Bagaimanapun kini, penyakit gout boleh terjadi kepada sesiapa sahaja berpunca daripada gaya hidup kurang sihat.
Penyakit gout adalah radang kronik pada sendi dan tisu disebabkan kandungan asid urik yang tinggi dalam darah, dinamakan 'hyperuricemia'. Badan kita menghasilkan asid urik daripada pecahan purin yang terhasil dari badan dan melalui bahan makanan. Asid urik yang berlebihan akan terkumpul pada sendi dan tisu tubuh. Kelebihan asid urik tidak semestinya akan menyebabkan gout dan ianya tidak perlu dirawat jika tidak terdapat sebarang gejala. Tidak ada penyembuh penyakit gout tetapi ia boleh dirawat dan dikawal melalui pengunaan ubat-ubatan dan perubahan cara hidup dan pemakanan yang sihat.
Penyakit gout boleh berlaku pada mana-mana sendi. Bagaimanapun ibu jari kaki adalah sendi pertama yang biasa terjadinya serangan gout yang pertama atau dipanggil 'Podagra'. Gout biasanya menyerang sendi kecil seperti jari kaki, buku lali, tendon achilles (belakang tumit), jari jemari tangan dan cuping telinga. Jika tidak dikawal, gout akan mula menyerang sendi yang besar seperti lutut, siku, pergelangan tangan dan bahu. Serangan gout boleh berlaku secara tiba- tiba dan biasanya mengambil masa beberapa hari hingga minggu untuk hilang sepenuhnya. Serangan berulang kali akan menyebabkan radang kronik teruk pada sendi dinamakan 'arthritis gout'. Gout kronik boleh menyebabkan kecacatan kekal sendi dan pembentukan 'tophi', iaitu ketumbuhan berwarna putih disekitar sendi dan tisu badan yang menganggu pergerakan sendi dan boleh melecet dan dijangkiti kuman. Ini biasanya memerlukan pembedahan untuk membetulkan kembali fungsi sendi dan membuang tisu yang telah rosak dan dijangkiti kuman.
Gejala penyakit gout adalah kesakitan yang teruk serta bengkak, merah dan sendi terasa panas apabila dipegang. Anda juga mungkin mengalami kesukaran untuk menggerakkan sendi disebabkan kesakitan. Risiko penyebab penyakit gout dan kelebihan asid urik adalah jantina lelaki, berat badan berlebihan atau obes, mempunyai sejarah penyakit kronik seperti darah tinggi, tinggi kolesterol, kencing manis dan kerintangan insulin, sakit jantung atau fungsi buah pinggang yang tidak baik. Anda juga boleh mendapat serangan gout yang kerap jika anda selalu meminum minuman keras atau makan makanan yang mengandungi purin tinggi seperti daging merah seperti lembu, rusa, itik, organ dalaman binatang, khinzir, makanan laut (seperti ikan bilis, kerang, udang, tuna, sardin), kekacang (kacang tanah, kacang kuda) serta minuman manis.
Gout boleh disahkan berdasarkan gejala, pemeriksaan sendi dan ujian seperti imbasan X-ray dan ujian darah tahap acid urik dalam darah. Kadangkala, cecair dari sendi boleh diambil untuk dianalisa yang biasanya menunjukkan kehadiran jarum kristal acid urik dalam cecair sendi.
Rawatan penyakit gout adalah dengan ubat NSAIDS seperti Ibuprofen dan Voltaren, ubat steroid dan anti-radang seperti Colchicine. Kesan sampingan Colchicine adalah loya, muntah, cirit-birit dan sakit perut. Anda juga hendaklah minum air yang banyak bagi membantu buah pinggang membuang asid urik yang berlebihan melalui air kencing. Untuk mengelakkan serangan gout, ubat seperti Allopurinol dan Feboxostat digunakan untuk mengurangkan asid urik dalam darah. Penggunaan ubat seperti ini boleh mengelakkan pelbagai komplikasi gout seperti pembentukan 'tophi', batu karang serta risiko kerosakan buah pinggang.
Penyakit gout adalah risiko penting untuk serangan jantung. Adalah sangat penting bagi pesakit gout untuk mengamalkan gaya hidup sihat seperti mengurangkan berat badan, kerap bersenam, mengurangkan pengambilan minuman keras dan makanan tinggi kandungan purin untuk mengelakkan pelbagai komplikasi terhadap organ penting seperti penyakit buah pinggang dan jantung dimasa hadapan.
Jika anda menghidapi penyakit gout, datang lah berjumpa dengan doktor untuk berbincang cara dan rawatan terbaik untuk mengawal penyakit gout.