Klinik Temasya
BLOG (Versi BM)

Puasa dan Kesihatan 

By
Updated on:

Puasa boleh didefinisikan sebagai menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa. Walaupun konsep berpuasa seperti intermittent fasting dan 1 hidangan sehari (one meal a day atau OMAD) kini sangat popular, amalan berpuasa sudah lama diamalkan untuk tujuan keagamaan dan budaya diseluruh dunia. Bulan Ramadhan yang baru sahaja bermula mewajibkan semua orang Islam yang berkeupayaan untuk berpuasa dari waktu sahur hingga terbenam matahari (fajar) selama sebulan

Amalan berpuasa mempunyai banyak manfaat dari segi membantu menurunkan berat badan, memperbaiki sistem pencernaan dan fungsi otak. Berpuasa dapat membaiki kerintangan insulin dan menstabilkan kadar gula dalam darah. Berpuasa juga dapat memperbaiki kawalan tekanan darah dan profil lemak tubuh dengan mengurangkan kadar lemak jahat seperti LDL atau triglyceride. Berpuasa dapat merehatkan sistem pencernaan tubuh dari berkerja keras tanpa henti dan memulihkan usus. Kajian juga menunjukkan berpuasa dapat memperbaiki fungsi pemikiran, mengurangkan keradangan, melambatkan penuaan dan memanjangkan umur

Dengan begitu banyaknya manfaat berpuasa pada kesihatan, tidak hairan lah ramai yang menjadi kan bulan Ramadhan sebagai permulaan untuk menukar kearah gaya hidup sihat seperti mengurangkan berat badan, pemakanan sihat dan berhenti merokok. Puasa tidak digalakkan bagi golongan seperti warga tua, sedang mengalami sakit berat, hamil, menyusukan bayi, sedang datang bulan dan pengembara jarak jauh

Terdapat beberapa rawatan perubatan yang boleh membatalkan puasa seperti:

- mengambil ubat-ubatan seperti pil dan sirap

- menggunakan ubat sedutan inhaler

- menggunakan ubat seperti enema atau suppositories, memasukkan jari ke anus atau menggunakan alatan seperti proctoscope atau speculum semasa pemeriksaan

- memasukkan tiub cathether atau endoskop ke rongga tubuh

- memasukkan air atau ubat melalui salur darah (intravenous)

Pertimbangan kesihatan bagi beberapa kumpulan pesakit adalah seperti:

- Pesakit kencing manis (diabetis) perlu mendapatkan nasihat doktor untuk berpuasa dibulan Ramadhan. Ubat kencing manis yang diambil tiga kali sehari seperti Metformin perlu lah ditukar kepada dua kali sehari diambil pada waktu sahur dan iftar. Doktor anda mungkin akan mengurangkan dos insulin atau memberhentikan ubat kencing manis yang boleh menurunkan paras gula secara mendadak. 'Hypoglycaemia' adalah keadaan dimana paras gula dalam darah sangat rendah dan boleh membahayakan nyawa. Antara gejala yang mungkin dialami adalah lapar, menggigil, berpeluh sejuk, pusing kepala, pengsan atau pun kecelaruan. Periksa kadar gular secara berkala apabila berpuasa. Jika bacaan gula sangat rendah (< 4mmol/L) walaupun tiada gejala, segera berbuka puasa

- Penyakit Gastrik seperti dispepsia atau refluks mungkin boleh menjadi lebih teruk disebabkan kandungan asid tinggi dalam perut semasa berpuasa. Elakkan makan berlebihan, kunyah makanan secara perlahan dan elakkan baring 30 minit selepas makan. Elakkan mengambil makanan pedas, berminyak dan beracid seperti makanan segera, keju, jus oren atau limau, minuman berkafein atau bergas. Anda juga boleh mengambil ubat gastrik atau antacid yang disarankan oleh doktor untuk mengurangkan rasa kembung perut atau sakit perut. Jika kesakitan terlalu teruk, elakkan berpuasa

Gout mungkin akan menyerang atau membuatkan episod serangan gout berpanjangan apabila berpuasa. Dehidrasi semasa berpuasa menyebabkan perubahan kadar asid urik dalam darah. Elak makanan seperti daging merah, organ dalaman, makanan laut atau makanan dan minuman manis

- Pesakit yang menghidapi tekanan darah tinggi (hipertensi) dan mengambil ubat- ubatan serta mempunyai kawalan tekanan darah yang baik boleh berpuasa seperti biasa dengan ubat diambil pada waktu sahur atau berbuka. Bagaimana pun ubat darah tinggi dalam kelas diuretik boleh menyebabkan dehidrasi terutamanya semasa cuaca panas. Berbincanglah dengan doktor anda mengenai cara selamat pengambilan ubat hipertensi anda semasa puasa

Tips bagi mengekalkan kesihatan semasa berpuasa dibulan Ramadhan:

- Pastikan anda mengambil air yang cukup antara waktu berbuka dan bersahur iaitu dalam 2 liter sehari. Pilih air kosong dan bukan air manis atau air gas

- Ambil makanan sihat yang seimbang serta tinggi fiber bagi mengelakkan sembelit. Elakkan makanan tinggi gula, minyak (lemak) dan garam. Guna konsep pinggan sihat 'suku suku separuh' untuk merancang hidangan anda

- Elakkan berbuka terus dengan makanan atau minuman manis. Ambil 1-3 biji kurma atau 1 mangkuk kecil buah 

- Elakkan tidur sepanjang hari. Lakukan aktiviti fizikal ringan seperti berjalan 30 minit sebelum berbuka atau lakukan senaman ringan selepas waktu berbuka

- Jangan abaikan sahur dan melambatkan berbuka kerana ia boleh menyebabkan lesu dan gula rendah dalam darah

- Elak membeli juadah berlebihan dibazaar Ramadhan yang boleh menyebabkan anda makan lebih banyak dan pembaziran

- Jika anda pesakit kronik berisiko tinggi, berbincanglah dengan doktor anda sebelum menjalani ibadah berpuasa. Perhatikan gejala seperti dehidrasi dan rendah gula dalam darah (hypoglycaemia)

Mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang bukan sahaja penting untuk memberi tenaga tetapi dapat mengelakkan berat badan bertambah dengan cepat selepas Ramadhan. Berpuasa bukan sahaja medan latihan memupuk kesabaran dan ketahanan diri tetapi merupakan peluang baik untuk mengubah kearah gaya hidup sihat. Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, hubungi klinik kami untuk maklumat lanjut

Get the Care You Deserve. Make Your Appointment Today

We focus on you. Schedule today to experience healthcare that's tailored to your needs.