Klinik Temasya
BLOG (Versi BM)

Rawatan hormon testosteron (TRT)

By
Updated on:

Testosteron adalah hormon yang dihasilkan oleh organ testis dan penting bagi fungsi reproduktif dan seksual kaum lelaki. Ia juga penting untuk penghasilan sperma, mengekalkan jisim dan kekuatan otot, mengurangkan lemak badan, kesihatan tulang serta penghasilan hormon erythropoietin oleh organ buah pinggang bagi pembentukan sel darah merah.

Tahap hormon testosteron akan berkurang mengikut umur. Kebiasaannya hormon testosteron paling tinggi diusia remaja dan kemudiannya stabil sehingga usia 40-an dimana ia akan berkurangan. Gejala kurang hormon testosteron adalah perlahan, tidak khusus dan senyap dan biasa dianggap seperti perubahan biasa disebabkan faktor usia dan penuaan.

Tahap testosteron yang rendah boleh menyebabkan gejala seperti kurang tenaga, kurang nafsu seks, masalah mati pucuk, kurang jisim dan kekuatan otot serta lemak berkumpul dibahagian perut dan payudara menyebabkan masalah kebuncitan dan payudara kelihatan seperti wanita. Terdapat juga masalah psikologi seperti sukar tidur atau tidur yang lama, kurang motivasi dan keyakinan diri serta kemurungan. Lelaki yang mempunyai kurang hormon testosteron juga mempunyai risiko tinggi masalah metabolik seperti obes, kencing manis, tinggi kolesterol dan serangan jantung

Kekurangan testosteron boleh disahkan melalui ujian darah tahap hormon testosteron diambil pada waktu pagi dalam keadaan berpuasa. Ujian lain adalah profil hormon lengkap hormon seperti hormon FSH, LH, estrogen, prolactin, tiroid dan SHBG.  Doktor juga akan melalukan ujian fizikal seperti kesihatan jantung, berat badan dan BMI, tekanan darah dan pemeriksaan zakar, testis dan kelenjar prostat. 

Rawatan hormon testosteron (TRT) diberi untuk rawatan masalah seksual lelaki disebabkan kekurangan hormon testosteron dan kadangkala digunakan pada wanita menopaus yang mempunyai masalah seksual seperti kurang nafsu seks. TRT boleh diberi setelah perbincangan dengan pesakit mengenai risiko, faedah, kesan jangka panjang dan keinginan untuk hamil. Selain itu TRT juga mampu meningkatkan keinginan seks, meningkatkan ketumpatan tulang, mood dan kesihatan keseluruhan.

TRT boleh diberikan dalam bentuk suntikan, tampalan kulit, gel, pil atau implan. Kesan sampingan termasuk jerawat, bengkak disebabkan air yang berlebihan dan sakit dan bengkak pada payudara. Ia juga boleh meningkatkan penghasilan sel darah merah menyebabkan darah pekat serta membentuk ketulan darah yang boleh menyebabkan serangan angin ahmar dan serangan jantung. Ia juga boleh menaikkan bacaan PSA (untuk prostat), mengganggu penghasilan sperma serta saiz testis yang mengecut menyebabkan ketidaksuburan. Tidak lazim berlaku adalah kesan radang pada hati. 

TRT bukan lah rawatan mengembalikan keremajaan atau penghalang proses penuaan. TRT juga bukan lah ubat pantas untuk anda mendapatkan tubuh badan sasa seperti ahli bina badan. Berbincang lah dengan doktor anda mengenai kesan jangka pendek dan panjang penggunaan TRT sebelum menggunakannya secara terlarang.

Jika ada mempunyai sebarang persoalan, datang lah berjumpa dengan doktor kami untuk maklumat lanjut.

Get the Care You Deserve. Make Your Appointment Today

We focus on you. Schedule today to experience healthcare that's tailored to your needs.