Klinik Temasya
BLOG (Versi BM)

Resdung, rhinitis alahan atau masalah sinus? 

By
Updated on:

Resdung adalah terminologi yang biasa diguna pakai untuk menerangkan tentang penyakit radang pada permukaan sinus hidung. Terdapat 2 jenis terma perubatan apabila pesakit mengatakan bahawa mereka mempunyai masalah resdung, iaitu rhinitis  alahan (allergic rhinitis) atau masalah sinus (atau rhinosinusitis). Rhinitis alahan dan masalah sinus mempunyai beberapa persamaan gejala seperti hidung kerap gatal, berair, hidung tersumbat, kerap terbersin dan lendir terasa ditekak terutamanya semasa baring (post-nasal drip). Bagaimana pun, masalah sinus lebih teruk dan antara gejala lain nya adalah sakit kepala, sakit dan rasa berat pada wajah, hilang deria bau, demam dan nafas atau lendir berbau busuk. Rhinitis alahan adalah salah satu risiko penyebab jangkitan sinus yang biasanya memerlukan rawatan seperti ubat antibiotik dan irigasi bagi mengeluarkan nanah dari dalam rongga hidung 

Rhinitis alahan adalah disebabkan stimulasi berlebihan sistem pertahanan badan terhadap alergen seperti habuk, dedebu, hama habuk rumah (house dust mites), kulit mati binatang, makanan dan penyembur wangian. Keradangan pada lapisan mukosa hidung menyebabkan gejala berlaku serta merta selepas terdedah atau boleh berlaku beberapa jam setiap hari. Gejala biasanya teruk diwaktu pagi dan semakin baik pada waktu tenghari atau petang

Rhinitis alahan adalah masalah lazim di Malaysia dan seramai 40% orang mempunyai rhinitis alahan terutamanya kanak-kanak sekolah. Ia boleh mengganggu aktiviti harian dan menyebabkan masalah seperti kepenatan, sakit kepala, sukar tidur, mata sembab, masalah berfikir dan menjejaskan prestasi kerja atau persekolahan

Selain dari faktor persekitaran, faktor genetik memainkan peranan penting. Gen yang mengawal tindakbalas sistem pertahanan badan adalah diwarisi dan tidak mengejutkan ramai yang mempunyai masalah rhinitis alahan mempunyai ibu-bapa atau ahli keluarga yang juga mengalami masalah yang sama. Rhinitis alahan adalah salah satu penyakit atopy, iaitu kecenderungan utk mengalami masalah hipersensitiviti seperti lelah dan masalah kulit ekzema. Jadi, individu yang mengalami rhinitis alahan juga mungkin mengalami masalah lelah dan ekzema atau mempunyai ahli keluarga yang mempunyai penyakit-penyakit ini. 

Pengurusan masalah rhinitis alahan adalah melalui pengetahuan mengenainya oleh pesakit. Tidak ada ubat penyembuh rhinitis alahan kerana sistem pertahanan badan adalah unik dan tersendiri kepada tubuh badan seseorang itu. Gejala boleh dikurangkan dengan mengelakkan pendedahan kepada faktor alergen secara berlebihan dipersekitaran anda. Ini boleh dilakukan dengan kerap mencuci rumah, vakum, elakkan penggunaan karpet atau perabot fabrik atau tirai/langsir yang berlapis dan berjela kerana ia boleh menyebabkan habuk terkumpul. Elakkan bahan iritasi seperti asap rokok dan vape serta wangian dalam deodoran atau sabun. Kebanyakan binatang peliharaan seperti kucing, anjing dan burung harus dielakkan sepenuhnya jika gejala masih teruk. Mengasingkan binatang peliharaan dalam bilik khas atau sangkar sahaja  tidak cukup kerana sel kulit mati binatang tersebut boleh tersebar melalui udara disekitar rumah.

Rawatan adalah dengan pengambilan ubat anti-histamin seperti Cetirizine, Loratadine dan Piriton bagi mengurangkan simptom. Jika gejala berterusan, penggunaan spray hidung yang mengandungi steroid seperti Avamys dan Flixonase lebih efektif dengan kos yang lebih murah berbanding pengambilan ubat anti-histamin yang berpanjangan. Penggunaan spray mengandungi steroid perlu lah dipantau bagi kanak-kanak kerana bimbang risiko pembesaran terbantut. Ia juga boleh menyebabkan iritasi pada hidung dan hidung berdarah jika digunakan terlalu lama. Rawatan lain adalah penggunaan jangka pendek spray dekongesten seperti Oxymetazoline dan spray hidung hipertonik saline.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan mengenai masalah resdung, rhinitis alahan atau sinus, berbincanglah dengan doktor kami untuk maklumat lanjut.

Get the Care You Deserve. Make Your Appointment Today

We focus on you. Schedule today to experience healthcare that's tailored to your needs.