Sindrom Policistik Ovari (PCOS)
Sindrom Policistik Ovari (PCOS) adalah masalah ketidakseimbangan hormon yang sering berlaku dikalangan wanita muda. PCOS menyebabkan pelbagai gejala seperti tiada haid atau kitaran haid yang tidak teratur, bulu tumbuh dengan banyak diwajah dan tubuh badan (hirsutism), berat badan bertambah dengan cepat atau berat badan berlebihan serta kesukaran menurunkan berat badan, kulit berminyak dan berjerawat, rambut gugur serta sukar untuk hamil. Ramai wanita yang menghidapi PCOS menghadapi tekanan perasaan, kerisauan melampau serta kurang keyakinan diri. Gejala PCOS biasa nya hadir dalam spektrum dimana terdapat wanita yang mempunyai gejala yang tidak serius tetapi terdapat juga wanita yang mengalami simptom yang pelbagai dan lebih serius.
Sebab sebenar PCOS tidak diketahui tetapi kajian menunjukkan terdapat kombinasi faktor genetik dan persekitaran. PCOS biasa nya diwarisi dan jika anda mempunyai ahli keluarga yang mempunyai PCOS, anda juga lebih berisiko tinggi untuk menghidapi PCOS
PCOS berlaku apabila terdapat pengeluaran hormon Luteinising Hormone (LH) yang lebih tinggi (iaitu lebih 3 kali ganda) berbanding Follicle stimulating hormone (FSH) oleh kelenjar pituitari. Setiap bulan, ovari sepatutnya mengeluarkan folikel. Apabila folikel membesar, ia menghasilkan hormon. Ia menyebabkan berlakunya ovulasi dimana telor matang akan terhasil. Ovari wanita yang mempunyai PCOS menghasilkan banyak folikel kecil (dimana hanya satu sahaja yang sepatutnya terhasil setiap bulan) dan ini mengganggu keseimbangan hormon. Ovulasi tidak berlaku setiap bulan menyebabkan ramai wanita yang tidak datang haid atau jarang mendapat haid serta menjejaskan tahap kesuburan mereka. Terdapat juga hormon lelaki (androgen) yang dihasilkan secara berlebihan menyebabkan jerawat, bulu tebal diwajah dan rambut gugur
Penghasilan hormon insulin yang berlebihan menyebabkan gula tinggi dalam darah dan badan tidak dapat bertindakbalas kepada insulin secara efektif menyebabkan kerintangan insulin (insulin resistance) serta berisiko tinggi untuk mendapat pra-diabetes dan diabetes.
Terdapat juga kes dimana terdapat banyak gelembung cyst pada ovari ('polycystic') ketika ujian imbasan. Ini bukan lah bermakna wanita tersebut menghidapi PCOS. Pengesahan PCOS hanya akan ditentukan berdasarkan tiga faktor iaitu gejala (tiada haid atau haid tidak teratur, bulu berlebihan pada wajah dan tubuh), ujian darah yang menunjukkan tahap hormon lelaki (testosterone) yang tinggi dari normal dan ujian imbasan yang menunjukkan banyak cyst dalam ovari
Anda perlu lah menjalani ujian hormon lengkap untuk memeriksa pelbagai masalah hormon lain seperti penyakit tiroid, tinggi prolaktin, Cushing dan masalah genetik. Anda juga perlu melakukan ujian seperti pemeriksaan berat badan, BMI, tekanan darah, ukur lilit pinggang, ujian darah untuk memeriksa kadar gula dan kolesterol serta ujian jantung
PCOS dikait dengan pelbagai masalah metabolik iaitu kumpulan penyakit kronik yang boleh meningkatkan risiko serangan jantung. Anda mungkin menghidapi sindrom metabolik jika anda mempunyai berat berlebihan atau obes, tekanan darah tinggi, kadar gula yang tinggi dalam darah, tinggi kadar triglyceride (lemah jahat) dan rendah kadar HDL (lemak baik). 40% wanita yang mempunyai masalah PCOS mengalami masalah sindrom metabolik disebabkan kerintangan insulin yang seterusnya meningkatkan risiko untuk mendapat serangan jantung.
Wanita yang mengalami PCOS kerap kali mempunyai kitaran haid yang tidak teratur. Ini menyebabkan dinding rahim mereka menebal secara tidak normal serta lebih berisiko untuk mendapat kanser rahim
Wanita yang mempunyai PCOS dan obes berisiko untuk mendapat apnea tidur yang menyebabkan terlelap diwaktu siang hari, letih, kurang fokus dan prestasi lemah. Apnea tidur juga boleh meningkatkan risiko penyakit darah tinggi, serangan jantung dan angin ahmar.
Rawatan PCOS bergantung kepada individu dan keinginan untuk hamil. Jika wanita yang mempunyai PCOS tidak ingin hamil, ubat hormon perancang seperti Diane boleh digunakan. Ubat hormon seperti pil progesterone boleh digunakan untuk mendapatkan haid jika tiada haid lebih dari 3 bulan untuk mengelakkan dinding rahim menebal. Rawatan lain adalah dengan IUCD yang mengandungi hormon seperti Mirena.
Ubat seperti Metformin biasa digunakan untuk merawat kerintangan insulin dan pra-diabetes atau diabetes. Ia juga dapat membantu mengurangkan berat badan serta mengaturkembali kitaran haid dan meningkatkan kadar kesuburan. Bagi wanita yang mempunyai PCOS dan kesukaran untuk hamil, dapatkan rawatan lanjut mengenai rawatan kesuburan bersama pakar O&G yang berpengalaman
Rawatan masalah jerawat adalah dengan penggunaan krim, antibiotik dan tablet retinoid. Rawatan laser dan pil hormon seperti Diane boleh digunakan untuk mengawal bulu yang berlebihan.
Rawatan utama PCOS adalah dengan perubahan gaya hidup kepada lebih sihat dan mengurangkan berat badan dengan mengamalkan diet seimbang tinggi serat, buah-buahan dan sayur-sayuran. Elakkan mengambil gula, garam dan kafein yang berlebihan. Amalkan aktiviti fizikal 150 minit seminggu seperti berjalan, berjoging dan berbasikal. Jika anda sudah melakukannya, tambahkan aktiviti regangan bagi meningkatkan jisim otot badan
Tidak ada penyembuh untuk PCOS. Rawatan perubatan bertujuan untuk mengurangkan simptom dan kesan jangka masa panjang PCOS seperti sindrom metabolik, serangan jantung dan risiko kanser seperti payudara dan rahim. Ubat-ubatan sahaja tidak mencukupi kerana wanita yang mempunyai PCOS perlulah menukar gaya hidup mereka serta mengurangkan berat badan dan kerap bersenam.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan mengenai PCOS, berbincanglah dengan doktor kami untuk maklumat lanjut