Dispepsia dan infeksi Helicobacter Pylori
Dispepsia atau ketidakcernaan adalah masalah lazim yang berlaku menyebabkan rasa kurang selesa dan kerengsaan dibahagian tengah atas perut. Ia juga disertai dengan beberapa gejala lain seperti kembung perut, sendawa, loya, muntah asid masam serta rasa mudah kenyang. Ketidakselesaan ini boleh datang dan pergi tetapi ia juga boleh berterusan. Gejala dispepsia berbeza antara individu dan mungkin disebabkan masalah kesihatan serius.
Dispepsia bukan lah sejenis penyakit tetapi ia merupakan kumpulan gejala yang selalu berkait dengan masalah sistem penghadaman tubuh seperti perut, hempedu atau disebabkan oleh kesan sampingan pengambilan ubat-ubat tertentu. 75% kes dispepsia (dipanggil dispepsia berfungsi) dan 25% pula kes disebabkan penyakit seperti penyakit asid refluk (GERD), ulser peptik dan duodenum (ulcer perut dan usus kecil), kanser perut dan kanser tiub makanan esofagus. Penilaian kes dispepsia memerlukan sejarah gejala yang dialami pesakit, pemeriksaan fizikal dan beberapa ujian untuk mengenalpasti punca. Pengambilan ubat seperti ubat tahan sakit (NSAIDS), antibiotik dan ubat untuk kerapuhan tulang (Biphosphonates) juga boleh menyebabkan simptom dispesia.
Terdapat beberapa tanda atau gejala yang membimbangkan serta perlu diberikan perhatian kerana jika ada pesakit hendak lah menjalani ujian endoskopi secara segera antaranya adalah:
- Berusia 50 tahun ke atas
- Kerap muntah samaada makanan atau darah
- Najis berwarna hitam seperti tar
- Kurang selera makan
- Penurunan berat badan tidak dirancang
- Kesukaran menelan makanan atau sakit semasa menelan makanan
- Benjolan dibahagian perut
- Sejarah kanser perut atau usus dalam keluarge
- Kurang darah (anemia) dalam ujian darah
Helicobacter pylori atau H. pylori adalah sejenis bakteria yang hidup dalam perut dan biasanya dijangkiti semasa waktu kanak-kanak. Ia tersebar melalui air dan makanan yang telah tercemar. Ia juga boleh tersebar kepada orang lain melalui air liur. Bagi kebanyakan orang, kewujudan bakteria ini tidak menunjukkan sebarang gejala atau menyebabkan ulser dalam perut. Tetapi terdapat sesetengah pesakit yang mengalami simptom dispepsia kerana infeksi H.pylori. Ini kerana H.pylori bertindak dengan merosakkan lapisan perlindungan perut serta membenarkan bakteria serta acid masuk sehingga terjadi nya keradangan dan ulcer. H.Pylori mampu hidup dalam perut yang berasid kerana ia menghasilkan sejenis enzim yang mampu meneutralkan acid dalam perut serta hidup didalam perut sehingga bertahun lamanya. Infeksi H.Pylori kronik yang tidak dirawat boleh menyebabkan kanser organ sistem penghadaman seperti kanser perut dan usus
Antara ujian untuk mengesan H.Pylori adalah dengan ujian nafas urea (urea breath test) serta ujian darah dan najis. H.Pylori juga dapat dikesan melalui biopsi tisu yang yang diambil semasa ujian endoskopi
Bagi pesakit yang mempunyai gejala dispepsia dan infeksi H.pylori, rawatan pembasmian boleh memberi kelegaan simptom yang dialami serta mengurangkan risiko komplikasi ulser atau kanser. Bagaimana pun, infeksi H.Pylori tidak mudah dirawat dan pesakit boleh dijangkiti kembali walaupun telah menerima rawatan. Rawatan pembasmian H.Pylori adalah dengan 3 jenis ubat iaitu, ubat proton pump inhibitor (PPI) dan dua jenis antibiotik selama 10-14 hari. Rawatan tambahan adalah dengan gabungan makanan tambahan Probiotik yang boleh melawan H.pylori serta mengurangkan kesan sampingan rawatan pembasmian. Ujian semula biasanya dilakukan selepas 6 minggu rawatan untuk memastikan infeksi H.pylori telah hilang sepenuhnya
Jika anda mengalami gejala dispepsia atau mempunyai sebarang pertanyaan mengenai infeksi H.pylori, dapatkan maklumat lanjut diklinik kami