Klinik Temasya
BLOG (Versi BM)

Tuberkulosis (TB)- jangan biarkan batuk berpanjangan

By
Updated on:

Tuberkulosis (TB) adalah penyakit berjangkit disebabkan bakteria yang dinamakan Mycobacterium Tuberculosis. TB boleh menyerang mana-mana bahagian tubuh lazimnya paru-paru. Bakteria M.tuberculosis tersebar daripada individu ke individu yang lain melalui titisan kecil mengandungi bakteria yang berlegar diudara apabila individu yang telah dijangkiti TB batuk, bersin atau meludah

Kes jangkitan TB meningkat setiap tahun bukan sahaja di Malaysia tetapi diseluruh dunia. Individu yang mempunyai jangkitan aktif TB paru-paru (atau TB pulmonari) biasanya mempunyai gejala pernafasan seperti batuk kering berpanjangan, batuk berdarah, sakit dada, sukar bernafas dan gejala menyeluruh seperti demam, berpeluh diwaktu malam, lesu, berat badan turun mendadak, kurang selera makan dan bengkak nod limfa. TB juga boleh menyerang otak (dipanggil TB meningitis) menyebabkan sakit kepala berterusan, kekeliruan dan koma. Jangkitan TB pada kanak-kanak menyebabkan demam berpanjangan, kegagalan tumbesaran, kerap mendapat jangkitan paru-paru dan berat badanurun.

Risiko penyebab jangkitan TB adalah:

  • Berkait rapat dengan individu positif TB (contohnya tinggal serumah)
  • Mempunyai penyakit lain yang boleh melemahkan sistem pertahanan badan seperti kencing manis, HIV, kegagalan buah pinggang, malnutrisi (kurang zat makanan), kanser atau sedang menerima rawatan kanser, penggunaan ubat-ubat yang boleh menghalang sistem pertahanan badan seperti steroid dan rawatan penyakit autoimun
  • Merokok
  • Pengambilan minuman keras
  • Penggunaan dadah terlarang 
  • Tinggal dikawasan perumahan sesak atau penempatan kelompok seperti penjara

Ujian saringan TB adalah ujian Mantoux. Diameter ruam kemerahan yang terhasil akan diukur dan jika lebih dari 10mm bagi individu yang tidak menerima BCG  dan 15mm bagi individu yang telah menerima BCG adalah tinggi keberangkalian jangkitan TB. Bagaimana pun ia perlu dikaitkan dengan gejala dan tanda penyakit TB individu yang diuji

Latent TB atau TB pendam adalah keadaan dimana seseorang itu mempunyai bakteria hidup M.tuberculosis berjangkit melalui penyebaran oleh individu yang menghidapi TB aktif tetapi bakteria berada dalam keadaan dorman. Pesakit yang mempunyai TB pendam biasanya tidak mempunyai sebarang gejala dan tidak ada kerosakan paru-paru dapat dilihat melalui imbasan X-ray dada. Kajian menunjukkan individu yang mempunyai TB pendam mempunyai kebarangkalian 5-10% untuk mendapat jangkitan aktif TB biasanya dalam dua tahun pertama selepas terdedah pada jangkitan

Diagnosa TB boleh dilakukan dengan ujian imbasan X-ray dada dan sampel ujian yang mengenalpasti acid fast bacilli (AFB) daripada bahan spesimen seperti kahak, cecair dari tulang belakang atau tisu badan

Pesakit yang menghidapi jangkitan aktif TB pulmonari memerlukan pengasingan dibilik bertekanan negatif kerana TB adalah penyakit yang tersebar melalui bawaan udara. Semua kontak rapat pesakit perlu lah disaring dan dirawat. Ubat yang digunakan untuk rawatan TB biasanya mengandungi kombinasi ubat yang telah ditetapkan dos nya seperti Akurit selama 6 bulan. Dos rawatan bergantung kepada berat badan pesakit dan ubat bernama Pyridoxine diberikan bersama untuk mengelakkan kesan pada saraf. Tempuh rawatan berbeza dan mungkin lebih lama bagi kes TB meningitis, AFB positif berterusan dalam sampel ujian walaupun sedang menerima rawatan dan jika terdapat kerosakan teruk paru-paru.

Kes jangkitan pelbagai ubat rentan (resistant) TB atau dipanggil multi-drug resistant TB (MDR-TB) semakin meningkat disebabkan jangkitan bersama dengan virus HIV dan penempatan perumahan sesak yang berleluasa. Ia memerlukan regim rawatan yang lebih kompleks dan lama serta kesan sampingan yang lebih banyak dari rawatan TB biasa.

Ubat rawatan TB standard biasa boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan seperti ruam, penyakit kuning disebabkan kesan pada organ hati, kurang selera makan, loya, kebas dan semut pada tangan dan kaki, gangguan penglihatan, urin berwarna jingga dan sakit perut. Adalah penting untuk pesakit memantau kesan sampingan semasa dalam rawatan. Kegagalan untuk mematuhi aturan pengambilan TB boleh menyebabkan jangkitan MDR-TB, kegagalan organ dan risiko kesihatan awam 

TB adalah penyakit kesihatan awam yang serius dan merupakan antara penyebab  kematian disebabkan penyakit berjangkit, sebab ke-10 kematian didunia dan pembunuh utama bagi pesakit HIV positif. Mujurlah terdapat ubat penyembuh bagi penyakit TB dan ia boleh dicegah. Jika anda mengalami gejala batuk dan pernafasan berpanjangan, berjumpa lah dengan doktor kami untuk ujian lanjut

Get the Care You Deserve. Make Your Appointment Today

We focus on you. Schedule today to experience healthcare that's tailored to your needs.