Klinik Temasya
BLOG (Versi BM)

Penyakit pulmonari kronik (COPD) dan tabiat merokok

By
Updated on:

Penyakit pulmonari kronik (COPD) adalah penyakit pernafasan melarat yang disebabkan kesempitan dan radang pada rongga pernafasan paru-paru. Pesakit COPD kerap mengalami batuk kering berpanjangan (kadang kala terdapat kahak), kesukaran bernafas serta mudah penat dan tercungap terutamanya apabila melakukan pergerakan fizikal dan aktiviti harian

COPD disebabkan pendedahan jangka masa panjang pada asap dan bahan kimia dalam rokok. COPD juga boleh disebabkan pendedahan kepada habuk, bahan kimia dan pencemaran udara yang kotor berkait dengan pekerjaan seperti kimpalan, melombong batu arang dan pembinaan bangunan. Emphysema dan bronkitis kronik adalah dua keadaan yang menyumbang kepada penyakit COPD. Kedua-dua kedaaan ini biasanya berlaku bersama dan keterukannya berbeza pada setiap individu yang menghidapi penyakit COPD

Bronkitis kronik adalah keadaan dimana pesakit mengalami batuk berkahak sekurang-kurangnya 3 bulan setiap tahun selama 2 tahun. Terdapat radang kronik dan bengkak dalam rongga pernafasan (bronkiol) menyebabkan kesempitan rongga pernafasan. Emphysema adalah keadaan dimana rongga ruang udara (alveolus) mengembang secara kekal sehingga hilang keregangan. Kombinasi kedua-dua keadaan ini menyebabkan paru-paru tidak dapat mengosongkan udara dan udara yang terperangkap dalam paru-paru menjadikan saiz paru-paru membesar secara tidak normal (hyperinflation)

Pesakit COPD berisiko untuk mendapat penyakit lain seperti kegagalan jantung, kanser paru-paru, kerap mendapat jangkitan paru-paru dan kemurungan

Penyakit COPD boleh didiagnosa berdasarkan simptom, imbasan X-ray dada dan ujian fungsi paru-paru (spirometry). Rawatan utama penyakit COPD adalah dengan berhenti  merokok. Rawatan lain adalah ubat sedutan yang boleh digunakan untuk membuka rongga paru-paru bagi melancarkan aliran pernafasan dan ubat sedutan mengandungi steroid atau ubat tablet steroid untuk merawat radang dalam rongga pernafasan serta ubat antibiotik untuk merawat jangkitan paru-paru (pneumonia). 

Adalah penting untuk pesakit COPD mendapatkan vaksinasi tahunan influenza dan vaksinasi pneumococcal secara berkala bagi mengurangkan risiko jangkitan paru-paru. Sesetengah pesakit mungkin memerlukan bantuan mesin oksigen kerana kandungan oksigen dalam badan terlalu rendah. Dapatkan diet seimbang tinggi kandungan protein bagi memastikan berat badan dan kekuatan fizikal sihat. Senaman pemulihan paru-paru juga boleh membantu pernafasan dan memastikan pesakit kekal aktif

Penyakit COPD adalah penyakit serius paru-paru melarat yang kronik tanpa ubat penyembuh. Bagaimana pun ia boleh dielakkan dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti berhenti merokok dan menghisap vape serta bersenam secara kerap. Jika anda masih merokok dan menghadapi kesukaran untuk berhenti merokok, datanglah berjumpa doktor kami untuk maklumat lanjut

Get the Care You Deserve. Make Your Appointment Today

We focus on you. Schedule today to experience healthcare that's tailored to your needs.