Klinik Temasya
BLOG (Versi BM)

Ujian saringan pap smear

By
Updated on:

Ujian pap smear merupakan ujian saringan kanser pangkal rahim ataupun kanser serviks. Ianya ujian untuk melihat sel sebelum menjadi kanser (pra-kanser) ataupun sel kanser pada serviks. Ujian pap smear diperkenalkan oleh Dr Georgios Papanikolaou pada tahun 1940s. Dr George mengambil sampel pangkal rahim dari isteri nya setiap hari untuk memahami perubahan sel pada pangkal rahim. Ini membolehkan ketersediaan ujian saringan efektif bagi mengesan pra-kanser dan kanser yang telah digunakan secara berleluasa pada ramai wanita diseluruh dunia. 

Pengenalan ujian pap smear telah berjaya mengurangkan kadar kes dan kematian berkait dengan kanser serviks serta merupakan salah satu program kesihatan awam yang sangat berjaya untuk pencegahan kanser. Disebabkan kadar perkembangan kanser serviks yang perlahan, iaitu antara 5 hingga 20 tahun, kanser serviks dapat dirawat jika ianya dikesan pada tahap awal.

Gejala kanser serviks adalah corak pendarahan haid yang tidak teratur seperti pendarahan yang berat, pendarahan antara kitaran haid dan pendarahan selepas melakukan seks, keputihan yang berbau, sakit semasa seks atau pendarahan selepas tamatnya haid (atau menopause).

Terdapat 99% kes kanser serviks adalah disebabkan jangkitan penyakit kelamin oleh virus Human Papillomavirus virus (HPV). Kanser serviks adalah kanser ketiga paling tinggi bagi wanita diseluruh dunia. Risiko penyebab lain adalah rokok, penggunaan pil perancang kehamilan yang lama, sistem pertahanan tubuh yang lemah, mempunyai ramai pasangan seks, melakukan seks terlalu awal serta mempunyai sejarah jangkitan penyakit kelamin. Usaha pencegahan adalah dengan mengamalkan gaya hidup seks yang sihat dengan menggunakan kondom serta vaksin HPV seperti Gardasil pada kanak-kanak lelaki dan perempuan seawal usia 11 dan 12 tahun sehingga umur 45 tahun.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengesyorkan ujian saringan pap smear dilakukan oleh semua wanita diantara umur 20 hingga 65 tahun yang pernah melakukan hubungan seks. Jika dua keputusan pap smear normal dua tahun berturut- turut, ujian saringan yang seterusnya boleh dilakukan setiap 3 tahun.

Terdapat beberapa sebab yang menyebabkan ramai wanita tidak melakukan ujian saringan pap smear antaranya kurang kesedaran tentang faedah ujian saringan bagi mengesan tahap awal kanser, menjangkakan ujian ini akan menyakitkan atau melibatkan kos yang tinggi, malu terutamya jika diperiksa doktor lelaki serta menjangkakan risiko untuk mendapat kanser serviks adalah rendah atau tidak mungkin. Pengesanan awal dengan ujian saringan secara berkala dapat mengenalpasti perubahan pra-kanser dan mengelakkannya dari terus merebak ketahap yang lebih teruk.

Jika anda tidak pernah melakukan ujian pap smear atau tidak dikemaskini baru-baru ini, datanglah berjumpa dengan doktor kami untuk maklumat lanjut.

Get the Care You Deserve. Make Your Appointment Today

We focus on you. Schedule today to experience healthcare that's tailored to your needs.