Klinik Temasya
BLOG (Versi BM)

Jangan abaikan kesihatan mental

By
Updated on:

Kesihatan mental adalah aspek penting kesihatan menyeluruh yang optimal dan sejahtera. Kesihatan mental selalu dipandang remeh dan tidak diletakkan sebagai keutamaan. Sebanyak 1 per 3 orang dewasa di Malaysia mempunyai masalah kesihatan mental samaada disedari atau tanpa sedar.

Kesihatan mental yang tidak baik dikaitkan dengan kesukaran menghadapi tekanan atau masalah, tekanan ditempat kerja, kurang bersosial, pengamalan gaya hidup kurang sihat, mengalami gejala fizikal tanpa sebab penyakit perubatan serta peningkatan kos kesihatan. Mempunyai kesihatan mental yang kuat dan sihat mampu membantu seseorang individu mempunyai persepsi yang positif, daya ketahanan diri yang tinggi dalam menghadapi cabaran dan lebih produktif dalam pekerjaan serta menyumbang kepada komuniti dan negara. 

Terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi tahap kesihatan mental seseorang individu itu. Antaranya adalah faktor biologi (genetik dan keturunan), tingkah laku (gaya hidup, tekanan, pekerjaan, persepsi pada kesihatan) dan sosial (budaya, agama, nilai kekeluargaan serta sokongan sosial)

Sejak awal tahun 2020, kita menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia menguji kekuatan dan ketahanan diri. Jika anda bergelut dengan cabaran, anda tidak keseorangan. Ini mungkin disebabkan pelbagai faktor seperti masalah kewangan, pengasingan sosial, hilang pekerjaan, beban kerja yang berat, masalah rumahtangga serta kegagalan mengatasi tekanan dari faktor luaran.

Kesihatan mental tidak akan hilang dengan sendiri dan jika terus tidak dirawat akan terus melarat. Antara gejala dan tanda masalah kesihatan mental adalah kesedihan yang berpanjangan, mudah marah, sukar untuk memberi fokus serta rasa takut, risau dan cemas yang berlebihan. Selain itu anda mungkin hilang minat pada kehidupan harian serta penampilan diri, hilang keseronokan melakukan aktiviti yang anda gemari, lebih gemar bersendirian serta perubahan drastik selera makan dan waktu tidur. Pada tahap yang teruk, anda mungkin mengalami perasaan ingin bunuh diri atau hilang pertimbangan diri.

Adalah sangat penting untuk mengenalpasti emosi serta bijak menguruskan tekanan dalam kehidupan harian. Walaupun pengetahuan dan pendedahan mengenai kepentingan kesihatan mental semakin meluas tetapi masih terdapat stigma yang tinggi mengenai kesihatan mental menyebabkan ramai yang malu dan enggan mendapatkan rawatan. Antara faktor penting yang memainkan peranan dalam kejayaan menangani masalah kesihatan mental adalah dengan sokongan sosial daripada orang yang disayangi. Ambil masa untuk bercakap dengan keluarga dan rakan tersayang bagi mendapatkan galakan dan sokongan yang dapat menaikkan daya ketahanan diri diwaktu sukar.

Adalah sangat penting juga untuk memberi tumpuan pada kesihatan fizikal. Dapatkan tidur yang cukup dan rehat jika anda terlalu penat dan tertekan. Ambil masa untuk melakukan aktiviti bersukan bagi melancarkan aliran darah dan menguatkan jantung dan paru-paru. Bersenam juga dapat mengeluarkan endorphins, iaitu bahan kimia diotak yang juga dikenali sebagai hormon gembira (happy hormone) mampu meningkatkan tenaga dan emosi positif. Pengambilan pemakanan sihat yang lengkap juga dapat membantu. Amalkan yoga, teknik pernafasan dalaman dan terapi relaksasi.

Memberi keutamaan dan fokus pada keperluan emosi dan perasaan adalah amat penting untuk kesihatan mental. Jangan pendamkan tekanan dan perasaan negatif dalam diri. Kesihatan mental yang baik mampu membantu anda menghadapi sebarang cabaran yang mendatang. Jika anda berasa sedih dan tertekan, berbincanglah dengan doktor untuk nasihat dan rawatan lanjut.

Get the Care You Deserve. Make Your Appointment Today

We focus on you. Schedule today to experience healthcare that's tailored to your needs.