Klinik Temasya
BLOG (Versi BM)

Kaedah perancang keluarga III: Perancang kehamilan jenis kombinasi

By
Updated on:

Terdapat pelbagai jenis perancang kehamilan jenis kombinasi di pasaran antaranya adalah:

  • Pil perancang kehamilan untuk kegunaan harian
  • Pelekat pada kulit seperti Evra untuk ditukar setiap minggu
  • Cincin vagina seperti Nuvaring untuk ditukar setiap bulan 

Semua jenis perancang kehamilan kombinasi mengandungi dua jenis hormon sintetik iaitu hormon estrogen dan progesterone. Perancang kehamilan yang mengandungi kombinasi hormon dilarang untuk pesakit yang mempunyai sejarah kanser payudara, angin ahmar, sakit jantung atau sejarah darah beku (seperti DVT dan PE), migraine, penyakit darah tinggi, melakukan pembedahan baru-baru ini dan terpaksa tidak bergerak banyak, merokok serta berusia 35 tahun ke atas atau sejarah penyakit hati atau pundi hempedu. Ia juga tidak digalakkan kepada wanita yang mengalami pendarahan dari vagina atau ketulan dipayudara yang tidak pernah disiasat.  

Semua wanita yang ingin menggunakan perancang kehamilan jenis kombinasi perlu diperiksa mengenai risiko perubatan mereka, sejarah keluarga, pengambilan ubat-ubatan lain, sejarah datang haid serta aktiviti seks dan sama ada mereka aktif merokok atau tidak. Doktor juga akan melakukan pemeriksaan fizikal payudara, organ pelvis, tekanan darah serta BMI. Adalah digalakkan juga pesakit menjalani ujian pap smear.

Beberapa kesan sampingan perancang kehamilan jenis kombinasi adalah sakit pada bahagian payudara, pertambahan berat badan (biasa nya disebabkan berat air), loya, sakit kepala, kurang nafsu seks, kembung perut, sakit perut memulas, kering dibahagian vagina atau keputihan berlebihan serta perubahan pada kulit seperti jerawat, tompok-tompok gelak pada kulit dan bulu pada wajah. 

Selain faedah perancangan keluarga, perancang kehamilan jenis kombinasi juga dapat mengatur kitaran haid, mengurangkan aliran darah haid yang berat dan serta dapat mengurangkan sakit pra-menstruasi atau semasa haid. Ia juga dapat memberi perlindungan daripada beberapa jenis kanser seperti kanser peranakan (endometrial cancer), kanser ovari dan penyakit payudara kanser benign seperti fibroadenoma. Wanita juga mungkin mengalami perubahan baik pada jerawat mereka setelah menggunakan perancang kehamilan ini.

Terdapat beberapa jenis formulasi pil perancang kehamilan. Pastikan anda mengambil pil setiap hari pada waktu yang sama. Bergantung pada jenama, mungkin terdapat 21 atau 28 pil dalam peket pil anda. Jika terdapat 21 pil dalam kotak pil perancang anda, ambil lah pil anda setiap hari selama 3 minggu diikuti dengan satu minggu tanpa pil dimana anda akan mengalami haid untuk bulan tersebut. Selepas 7 hari, buka kotak baru dan mula kan pengambilan pil perancang anda sehingga 21 hari yang seterusnya. Jika terdapat 28 pil dalam kotak pil perancang, teruskan mengambil pil anda tanpa perlu berhenti. Jika anda mengalami muntah, cirit birit serta mengambil beberapa jenis ubat- ubatan, ia mungkin dapat mengurangkan keberkesanan pil perancang anda.

Jika anda terlupa pengambil pil aktif iaitu 24 jam atau lebih daripada waktu yang sepatutnya, anda perlulah mengambil pil secepat mungkin, mungkin dua biji pil pada hari yang sama. Anda tidak perlu menggunakan kaedah perancangan keluarga yang lain. Jika anda terlupa mengambil 2 atau lebih pil aktif, ambil secepat mungkin walaupun dua biji pada hari yang sama dan gunakan pil perancang kecemasan jika berlakunya hubungan seks tanpa perlindungan dalam 5 hari sebelumnya. Untuk mengelakkan kehamilan, gunakan kaedah perancangan keluarga seperti kondom sehingga anda telah mengambil 7 biji pil aktif berturut- turut. Jika terdapat kurang dari 7 pil aktif dalam pek anda, abaikan waktu rehat tanpa hormon dan mulakan pek yang baru.

Pelekat perancang kehamilan seperti Evra mengeluarkan hormon kedalam kulit untuk mengelakkan kehamilan. Ia boleh dipakai dimana-mana bahagian badan yang bersih, kering dan tidak banyak bulu seperti pada bahagian perut, punggung dan lengan. Elakkan penampal pelekat ditempat yang sama untuk mengurangkan iritasi pada kulit. Tukar pelekat baru setiap 7 hari. 

Nuvaring pula ada cincin lembut, mudah lentur dan berwarna telus. Ia nya dimasukkan kedalam vagina dan ditukar setiap bulan. Cincin akan dipakai selama 3 minggu dan 1 minggu lagi dikeluarkan bagi membolehkan darah haid keluar. Ia nya selesa dan mudah untuk dipakai.

Perancang kehamilan kombinasi boleh diberhentikan pada bila-bila masa sahaja jika anda ingin hamil dan tahap kesuburan anda akan kembali cepat sama seperti sebelum mengambil perancang kehamilan. Jika anda ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai jenis perancang kehamilan yang bersesuaian dengan kesihatan dan gaya hidup anda, berbincang lah dengan doktor kami.

 

Get the Care You Deserve. Make Your Appointment Today

We focus on you. Schedule today to experience healthcare that's tailored to your needs.