Klinik Temasya
BLOG (Versi BM)

Kencing manis (diabetes jenis 2)

By
Updated on:

Penyakit kencing manis adalah penyakit kronik yang disebabkan oleh badan tidak dapat menghasilkan insulin yang mencukupi, atau tidak dapat menggunakan insulin dengan betul. Insulin ialah hormon yang mengawal paras gula dalam darah dengan membenarkan gula masuk ke dalam sel untuk digunakan sebagai tenaga, dan dengan itu, menurunkan paras gula dalam darah. Kekurangan atau kerintangan insulin dalam badan menyebabkan kandungan gula dalam salur darah menjadi sangat tinggi. Gula adalah sangat toksik kepada salur darah dan juga organ dalaman badan. Sebanyak 60-80% pesakit yang menghidapi kencing manis jenis 2 mengalami masalah berat badan obes, dipercayai  punca kencing manis melalui kerintangan insulin ('insulin resistance').

Kadar kes penyakit kencing manis semakin meningkat di Malaysia dan diseluruh dunia. Ini disebabkan pengambilan makanan tidak sihat dan gaya hidup tidak aktif bersukan. Terdapat 20.8% atau 2.8 juta rakyat Malaysia berusia 30 tahun keatas yang menghidapi penyakit kencing manis. Diabetes boleh menyebabkan pelbagai komplikasi antaranya:

1. Komplikasi kepada salur darah kecil ('microvascular')

  • Rosak buah pinggang menyebabkan penyakit kronik buah pinggang dan rosak sehingga memerlukan dialisis
  • Rosak kepada mata menyebakan katarak, glaukoma dan buta
  • Rosak saraf menyebabkan kebas dan kurang sensasi pada tangan dan kaki

2.  Komplikasi kepada salur darah besar ('macrovascular')

  • Otak— menyebabkan serangan angin ahmar
  • Jantung— menyebabkan sumbat saluran darah dan serangan jantung
  • Kaki— menyebabkan luka yang lambat untuk sembuh dan risiko perlu dipotong

3. Mudah untuk mendapat jangkitan bakteria, virus dan kulat disebabkan sistem pertahanan badan yang lemah

4. Masalah seks seperti mati pucuk dan tiada nafsu seks 

Kebanyakan pesakit yang menghidapi diabetes tidak mempunyai sebarang gejala. Antara simptom yang mungkin berlaku adalah penat dan lesu, kerap membuang air kecil, cepat haus, berat badan turun mendadak, kabur penglihatan dan kerap mendapat jangkitan kuman dan kulat. 

Risiko penyakit diabetes antara nya adalah berumur lebih dari 40 tahun, mempunyai keturunan keluarga diabetes, berat badan yang berlebihan, tidak aktif bersukan, mempunyai sejarah penyakit darah tinggi atau lemak tinggi dalam badan, merokok dan sejarah kencing manis ketika mengandung.

Pengesahan penyakit diabetes boleh dilakukan melalui ujian darah. Doktor anda akan menjalankan beberapa ujian seperti HbA1c, tahap kolesterol, buah pinggang, air kencing, tekanan darah serta ujian jantung. Penyakit kencing manis tidak boleh sembuh tetapi ianya boleh dikawal dengan gaya hidup sihat serta pengambilan ubat-ubatan untuk mengawal paras gula dalam darah.

Antara cara yang anda boleh laku kan hari ini untuk mengelakkan atau mengawal kencing manis adalah:

1. Mendapatkan berat badan dan BMI yang ideal. Untuk orang Asia, BMI yang sihat adalah antara 18-24. Menurunkan berat badan secara sihat dan konsisten boleh memberikan kesan baik kepada paras gula dalam darah

2. Pengambilan makan seimbang yang terdiri daripada sayur-sayuran, buah- buahan (rendah gula) serta makanan yang mengandungi glycaemic index yang rendah. Hentikan minum minuman manis atau bergas serta kopi pra-campuran. Elakkan makanan bergoreng serta berlemak tinggi dan garam yang berlebihan

3. Melakukan aktiviti senaman secara tetap, 5 kali seminggu dan tidak lebih dari 2 hari tanpa senaman. Praktis kan senaman aerobik serta regangan yang sesuai dengan tahan kecergasan anda. Banyakkan aktiviti pergerakan fizikal lain seperti berkebun, mencuci rumah dan lantai serta menggunakan tangga bagi mengeluarkan peluh

4. Hentikan merokok kerana ia nya meningkatkan risiko anda untuk mendapat serangan jantung dan strok

Penjagaan kesihatan kencing manis yang berkala amat lah penting serta perbincangan dengan doktor anda mengenai ubat- ubatan yang sesuai untuk mendapat kan kawalan kencing manis yang optimal. Pengambilan ubat- ubatan yang tidak tepat boleh menyebabkan komplikasi seperti rendah paras gula ("hypoglycaemia"). Pesakit juga perlu lah melakukan ujian saringan mata dan kaki untuk mengenalpasti awal komplikasi setiap tahun.


Jika anda risau atau ada soalan mengenai penyakit kencing manis, boleh lakukan konsultasi bersama dengan doktor kami untuk mendapatkan maklumat lanjut.

 

Get the Care You Deserve. Make Your Appointment Today

We focus on you. Schedule today to experience healthcare that's tailored to your needs.