Kesihatan otak
Kesihatan otak adalah sangat penting tidak mengira usia. Semakin berusia, fungsi dan kesihatan otak semakin menurun. Otak manusia adalah sangat penting dan bertidak sebagai pusat kawalan arahan mengawal pelbagai proses penting badan seperti berfikir, pembelajaran, memori, pergerakan, emosi dan mengatur deria pendengaran, bau dan penglihatan. Mengekalkan otak yang sihat sangat penting untuk kehidupan gembira dan aman.
Terdapat pelbagai penyakit yang boleh mengganggu fungsi otak seperti angin ahmar, penyakit Alzheimer, penyakit Parkinson, jangkitan pada otak (meningitis), trauma, penyakit mental (tekanan perasaan, skizophrenia, psikosis) serta pengambilan minuman keras dan dadah terlarang. Kesan setiap penyakit berbeza kepada setiap individu bergantung kepada bahagian otak yang terganggu.
Apabila seseorang itu menghidapi penyakit nyanyuk atau dementia, saiz otak mengecut separuh dari saiz normal. Penyakit Alzheimer adalah penyakit nyanyuk lazim menyebabkan kemerosotan fungsi kognitif. Ia juga menganggu domain otak lain menyebabkan kemerosotan fizikal, gangguan percakapan, keseimbangan badan semasa berjalan, emosi dan kebolehan melakukan aktiviti harian
Penyakit angin ahmar disebabkan proses yang dinamakan ‘atherosclerosis’ dimana salur darah penting dibahagian otak tersumbat disebabkan kolesterol tinggi, merokok, kencing manis dan gangguan denyutan nadi. Ia menyebabkan kecederaan akut pada bahagian tisu otak. Bergantung kepada bahagian otak yang terlibat, simptom yang berlaku akan berbeza contohnya lemah pada separuh bahagian muka atau badan, kesukaran bertutur, kesukaran menelan makanan dan minuman, masalah penglihatan atau pendengaran, masalah keseimbangan badan dan ditahap teruk adalah koma dan kematian.
Apakah yang boleh anda lakukan untuk mengekalkan kesihatan otak yang optimal:
- Kerap bersenam sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu dengan aktiviti berjalan, menari, berbasikal atau bermain badminton. Kajian menunjukkan individu yang aktif bersukan kurang berisiko untuk menjadi nyanyuk. Bersenam dapat meningkatkan aliran darah ke otak dan pengeluaran hormon endorphin yang boleh memberi rasa positif tubuh dan mengurangkan rasa sakit sama seperti ubat morphine!
- Dapatkan rehat yang cukup iaitu 7 hingga 8 jam setiap malam. Tidur yang cukup dapat membantu otak berehat dan proses penyembuhan otak. Gangguan tidur seperti insomnia atau apnea tidur memberi kesan negatif kepada kesihatan otak dan melemahkan daya ingatan
- Makan makanan berkhasiat kaya dengan bijirin, ikan, sayur dan buah-buahan. Elakkan makan daging merah, garam, gula dan makanan berlemak tepu yang tinggi. Kajian menunjukkan diet gaya Mediterranean boleh mengurangkan risiko penyakit nyanyuk disebabkan pemakanan yang tinggi kandungan lemak omega sihat seperti minyak zaitun dan ikan
- Lakukan aktiviti baru yang boleh meransang otak seperti mempelajari bahasa baru atau alat muzikal, membuat kuiz atau melakukan hobi baru. Interaksi sosial dan berkomunikasi dengan orang lain juga dapat membantu.
- Bergembira lah. Emosi positif dan ceria serta pengurusan stress yang berjaya mampu membentuk kesihatan mental yang stabil. Elakkan kerisauan melampau yang boleh menganggu waktu tidur. Amalkan aktiviti senaman yang dapat merehatkan minda seperti yoga dan meditasi
- Hentikan gaya hidup tidak sihat seperti merokok, pengambilan minuman keras dan dah dadah terlarang
- Lakukan ujian kesihatan secara berkala bagi mengenalpasti awal penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan mengenai kesihatan, datang lah berjumpa dengan doktor kami untuk maklumat lanjut