Penyakit obsesif- kompulsif (OCD)
Penyakit obsesif-kompulsif adalah penyakit kronik mental dan perbuatan yang lazim berlaku dikenalpasti dengan dua komponen utama iaitu pemikiran tidak diingini berulang kali (obsesif) disertai dengan/atau perbuatan yang perlu dilakukan mengikut rutin tertentu berulang kali (kompulsif) sehingga menyebabkan individu tersebut sentiasa berasa risau dan tertekan serta menganggu kehidupan harian mereka serta memberi kesan negatif pelbagai aspek seperti pekerjaan, persekolahan dan hubungan peribadi. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tetapi lebih kerap bermula sewaktu fasa akil baligh atau awal kedewasaan
Ciri utama penyakit mental ini adalah obsesif. Ramai individu yang menderitai penyakit OCD faham bahawa pemikiran dan habit mereka adalah keterlaluan dan tidak masuk akal. Bagaimanapun, gangguan fikiran yang mereka alami tidak boleh diterangkan atau diselesaikan dengan alasan yang logik. Ia kemudiannya menyebabkan individu tersebut mengalami tekanan perasaan, kerisauan yang melampau dan berasa jijik dengan diri sendiri. Pemikiran obsesif yang biasa dialami ramai pesakit OCD adalah takut pada kekotoran atau kontaminasi, obsesif dengan turutan atau aturan, gangguan pemikiran tentang agama dan seks serta takut akan kehilangan atau terbuang benda atau objek penting. Obsesif yang keterlaluan biasanya melibatkan individu itu terlalu asyik dengan pemikiran dan imej ahli keluarga atau kawan-kawan yang sedang nazak atau terdapat unsur luar (samada orang atau objek jahat atau penyakit) yang boleh menyebabkan kecederaan terus kepada individu tersebut atau orang yang mereka sayangi
Kompulsif adalah perbuatan atau pemikiran berulang kali yang perlu dilakukan mengikut turutan khas atau undang-undang tertentu bagi menghilangkan rasa tertekan atau perasaan bimbang dan risau disebabkan pemikiran obsesif. Individu yang menderitai penyakit OCD biasa nya sedar bahawa perbuatan kompulsif mereka tidak berasas tetapi mereka berasa perlu untuk melakukannya. Antara perbuatan atau pemikiran kompulsif adalah kerap mencuci tangan atau rumah, menyusun barang-barang dirumah atau pejabat mengikut aturan tertentu, kerap kali perlu memeriksa contohnya samaada telah mematikan api memasak atau menutup pintu, membaca ayat atau doa suci serta kerap kali memerlukan jaminan dari orang lain. Perbuatan atau pemikiran kompulsif berlaku sangat kerap, biasanya lebih dari satu jam sehari menyebabkan kualiti hidup terjejas. Individu yang mempunyai OCD tidak berasa seronok apabila melakukan perbuatan kompulsif mereka tetapi mereka tidak boleh berhenti. Jika mereka cuba berhenti melakukannya, mereka berasa sangat teruk serta perlu memulakannya semula. Jika tidak, huru-hara atau ketidakseimbangan berlaku dan sesuatu yang buruk akan terjadi kepada diri mereka atau orang yang mereka sayangi
Tidak diketahui punca sebenar penyakit OCD. Antara faktor penyebab adalah genetik atau keturunan. Sebab lain adalah seperti penganiayaan fizikal atau trauma, emosi terabai semasa kecil atau tekanan hebat situasi seperti dibuli, kelahiran anak, kematian serta mempunyai personaliti yang sangat mementingkan ketelitian, peraturan dan kesempurnaan dalam pekerjaan lebih cenduring untuk mendapat OCD. Individu yang mempunyai penyakit OCD juga mungkin akan mengalami penyakit mental lain seperti kerisauan melampau dan serangan panik, tekanan perasaan dan ketagihan
Apa yang boleh anda lakukan jika anda mempunyai penyakit OCD? Cuba kenalpasti pemikiran obsesif yang sedang mengawal anda dan cuba untuk melawannya. Berhenti seketika apabila pemikiran negatif itu datang dan jangan terus tunduk pada desakan untuk melakukan perbuatan kompulsif anda. Ia tidak mudah diperingkat awal. Seiring masa, anda harus belajar untuk meletakkan satu ruang jarak antara diri dan pemikiran anda dan cuba untuk menilai pemikiran anda secara objektif bagi memberikan anda kawalan semula pada diri. Anda juga boleh melakukan beberapa teknik untuk mengalih perhatian anda seperti melakukan kerja-kerja yang memerlukan sepenuh perhatian anda atau bercakap dengan keluarga atau rakan-rakan
Terdapat rawatan perubatan seperti ubat-ubatan untuk merawat tekanan perasaan and kerisauan melampau yang digunakan untuk mengawal gejala OCD. Terdapat juga rawatan psikology (CBT) dipanggil terapi pendedahan dan pencegahan tindakbalas (ERP). Rawatan ini bertujuan untuk menukar corak pemikiran, kepercayaan dan kelakuan yang boleh mencetuskan kerisauan dan gejala OCD. Sebahagiannya rawatan adalah dengan mendedahkan individu yang mengalami penyakit OCD dengan keadaan atau perkara yang mencetuskan pemikiran obsesif dan dalam masa yang sama mengurangkan desakan perbuatan kompulsif. Ini perlu dilakukan perlahan-lahan dan mengambil masa. Antara cara lain untuk mengurangkan kerisauan melampau dan serangan panik adalah dengan teknik pernafasan dalam, terapi relaksasi dan kawalan hiperventilasi. Adalah sangat penting untuk anda melibatkan orang yang tersayang dalam proses rawatan anda, mendapatkan tidur dan rehat yang cukup, kerap bersenam dan elakkan bebanan emosi dalam kehidupan harian
Jika anda mempunyai sebarang persoalan mengenai OCD, berbincang lah dengan doktor kami untuk maklumat lanjut