Suku suku separuh!
Suku suku separuh adalah panduan pengambilan makanan yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung masalah obesiti dan penyakit-penyakit tidak berjangkit (non-communicable diseases, NCD). Penyakit NCD adalah penyakit kronik yang berpanjangan dan boleh menyebabkan kematian mengejut disebabkan strok dan serangan jantung. Antara penyakit NCD adalah penyakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi, kanser dan penyakit buah pinggang kronik.
Antara risiko penyebab penyakit NCD adalah sejarah keluarga, masalah berat badan berlebihan dan obesiti, gaya hidup tidak aktif, merokok, pengambilan minuman keras serta pemakanan tidak sihat yang tinggi kandungan garam dan lemak tepu serta kurang sayur dan buah-buahan.
Konsep suku suku separuh adalah gambaran visual pinggan makanan yang sihat. Ia nya boleh diamalkan oleh semua orang dewasa bukan sahaja sebagai gaya pemakanan sihat tetapi ianya boleh membantu dalam pengurusan berat badan dan pencegahan penyakit kronik NCD. Bagi golongan kanak-kanak, ibu mengandung atau menyusukan bayi, perlu lah mendapat nasihat khusus dari doktor atau pakar pemakanan terlebih dahulu.
Bayangkan pinggan anda dibahagi kepada 3 bahagian. Separuh daripada pinggan mestilah terdiri daripada sayur-sayuran dan satu sajian buah. Pilih sayur seperti bayam, kailan, salad, petola, kacang panjang, labu, tomato timun dan ulam-ulaman. Pastikan sayur dimasak dengan kaedah sihat seperti celur, kukus atau menggoreng kilas (stir fry) dengan sedikit minyak. Bagi buah-buahan pula, pilih buat seperti jambu batu, tembikai, tembikai susu, betik, pisang dan mangga. Sayur dan buah mengandungi zat khasiat tinggi serat, vitamin dan mineral yang baik untuk kesihatan badan.
Suku pinggan yang pertama hendaklah diisikan dengan makanan dari kelas karbohidrat sihat yang membekalkan sumber tenaga utama. Lazim nya bagi rakyat Malaysia adalah nasi. Produk bijirin lain adalah seperti mi, roti, jaging, ubi ketang, ubi keledek dan oat. Pilih lah makanan yang mempunyai bijirin penuh dan rendah indeks glicemia seperti beras perang, roti/mi/pasta/biskut/capati bijirin penuh dan oat untuk memberi rasa kenyang yang lebih lama serta mengurangkan sembelit dan mengelakkan berat badan bertambah.
Suku pinggan yang kedua adalah protein yang penting untuk membina dan memulihkan badan. Ini boleh dibahagikan sumber protein haiwan atau tumbuh-tumbuhan. Sumber protein dari haiwan adalah seperti ayam, ikan, daging dan telor. Sumber protein dari tumbuh-tumbuhan pula adalah seperti tauhu, tempe, kekacang dan legum. Pilih bahagian daging yang kurang lemak seperti bahagian dada dan buangkan kulit dan lemak dari bahagian daging. Elakkan makan daging merah yang kerap seperti daging lembu, kambing serta daging proses seperti sosej kerana ia mengandungi kolesterol yang tinggi. Ikan seperti salmon, tuna, sardin, kembung dan tenggiri mengandungi omega 3 bagus untuk kesihatan saluran darah dan mengurangkan risiko penyakit jantung. Pastikan sumber protein dimasakkan kaedah sihat seperti panggang, kukus, rebus dan goreng ringkas menggunakan minyak sihat seperti minyak zaitun. Antara protein tumbuh-tumbuhan termasuklah kekacang (dal,kacang kuda, kacang merah, badam, walnut, pistasio) dan biji-bijian (biji bunga matahari, biji chia) yang mengandungi rendah lemak tepu serta tinggi vitamin dan mineral seperti zat besi, zink dan magnesium.
Lengkap kan hidangan dengan meminum air kosong sekurang-kurangnya 6-8 gelas setiap hari. Elakkan minum minuman manis, berkarbonat serta tinggi kafein seperti kopi yang berlebihan. Kopi segera seperti 3 dalam 1 yang mengandungi gula dan lemak yang tinggi dan tidak seharusnya menjadi minuman harian. Susu dan produk tenusu seperti yogurt adalah sumber penting bagi kalsium untik pembentukan gigi dan tulang yang sihat. Adalah disarankan untuk memilih susu dan produk tenusu yang rendah lemak atau tanpa lemak.
Tukar pola pemakanan anda yang tidak sihat kepada yang lebih sihat dengan mengamalkan kaedah suku suku separuh bermula dari hidangan anda yang seterusnya. Pengambilan pemakanan harian yang sihat bukan sahaja dapat memberikan tenaga untuk menjalani kehidupan aktif tetapi dapat menyihatkan tubuh serta mengelakkan dari obesiti serta masalah penyakit kronik.