Gangguan hormon tiroid berlebihan
Gangguan hormon tiroid berlebihan atau 'hyperthyroidsm' adalah keadaan dimana terdapat hormon tiroid berlebihan dalam badan. Hormon tiroid dihasilkan oleh kelenjar tiroid yang berbentuk seperti kupu-kupu dibahagian hadapan tengkuk. Otak kita akan menghasilkan sejenis hormon yang dipanggi TSH yang bertindak meransang kelenjar tiroid untuk menghasilkan hormon tiroid
Hormon tiroid mempunyai pelbagai fungsi penting dalam tubuh seperti mengawal metabolisme dan pembesaran tubuh, mengatur suhu badan tubuh, mengawal degupan nadi, membantu perkembangan otak dan tulang, memastikan sistem pencernaan berjalan lancar serta otot dalam tubuh berfungsi baik
Antara gejala gangguan hormon tiroid yang berlebihan adalah:
- Hilang berat badan walaupun selera makan bertambah
- Tidak dapat menahan panas
- Mudah berpeluh
- Mudah penat dan lesu
- Bebola mata kelihatan terbonjol keluar (exopthalmos), mata kabur, penglihatan berganda, mata menjadi merah, berair dan pedih
- Bengkak kelenjar tiroid (goitre)
- Jantung berdebar, nadi jantung laju dan tidak lancar (atrial fibrillation) yang boleh meningkatkan risiko strok dan kegagalan jantung
- Tekanan darah tinggi
- Mudah rasa cemas, resah dan gelisah
- Gigil pada tangan dan jari, kadangkala gigilan dapat dilihat pada muka, lidah, kepala dan kaki tanpa sedar
- Tapak tangan mudah basah disebabkan peluh
- Gangguan kitaran haid iaitu aliran haid menjadi sangan ringan atau tidak datang haid
- Gangguan usus seperti cirit-birit
- Kerapuhan tulang, tulang mudah patah
- Sukar tidur
- Bengkak pada kaki (pretibial myxoedema)
- Gangguan mental seperti kerisauan melampau, kemurungan dan cepat marah
- Masalah pada ibu dan bayi jika hamil
Sebab lazim gangguan hormon tiroid yang berlebihan adalah penyakit Graves. Penyakit Graves adalah penyakit autoimun dimana sistem pertahanan badan menyerang kelenjar tiroid menyebabkan penghasilan hormon tiroid secara berlebihan. Hormon tiroid yang berlebihan akan memberi maklum balas negatif kepada otak dengan mengurangkan penghasilan hormon TSH
Setelah penilaian dilakukan, doktor akan melakukan ujian darah seperti ujian fungsi tiroid (TFT) dan tahap antibodi tiroid. Doktor juga mungkin akan melakukan imbasan ultrasound kelenjar tiroid jika terdapat pembengkakan tidak normal
Rawatan yang lazim diberikan untuk gangguan hormon tiroid berlebihan adalah dengan ubat anti-tiroid seperti Carbimazole dan Prophylthiouracil (PTU). Ubat -ubatan ini bertindak menghalang enzim yang membantu menghasilkan hormon tiroid dalam badan. Terdapat beberapa kesan sampingan rawatan ini antaranya loya, ruam, gatal pada kulit, peningkatan enzim hati menyebabkan penyakit kuning dan penyekatan sumsum tulang menyebabkan penghasilan sel darah putih yang penting bagi melawan jangkitan kuman berkurang (neutropenia). Ini boleh menyebabkan anda sakit teruk jika terdedah pada jangkitan kuman.Jika anda mengalami demam, sakit tekak atau penyakit kuning selepas mengambil ubat- ubatan ini, dapatkan rawatan segera. Doktor juga mungkin akan memberi ubat yang dipanggil Beta-blocker bagi mengurangkan tekanan nadi dan debaran jantung. Elakkan mengambil makanan tinggi iodine seperti makanan laut dan garam (yang mengandungi mineral iodide) secara berlebihan
Bagi pesakit yang pertama kali menghidapi gangguan hormon tiroid berlebihan, rawatan pertama yang biasa diberi adalah dengan ubat anti-tiroid pada jangka masa tertentu. Apabila ubat tiroid diberhentikan, terdapat risiko serangan gangguan hormon tiroid berlebihan terjadi kembali. Jika ini kerap berlaku, terdapat kaedah rawatan lain seperti radioactive iodine and pembedahan membuang kelenjar tiroid yang akan dibincangkan oleh doktor yang merawat. Bagaimana pun terdapat risiko seperti gangguan hormon tiroid berkurangan (hypothyroidsm) yang memerlukan rawatan hormon tiroid selama-lamanya, risiko pendedahan radioactive kepada orang lain terutamanya kanak-kanak, pendarahan, risiko jangkitan, paras hormon parathyroid yang tidak stabil dan boleh mengganggu tahap kalsium dalam tubuh serta kecederaan pada saraf yang mengawal suara. Ini perlu lah dibincangkan dengan teliti bersama pesakit kerana terdapat kesan kekal selepas rawatan
Jika gangguan hormon tiroid berlebihan dan tidak dirawat, pesakit boleh mengalami tiroid storm yang menyebabkan tekanan darah, nadi jantung dan suhu badan meningkat ketahap merbahaya dan boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat dengan segera
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan mengenai kesihatan tiroid, dapatkan rawatan dan ujian lanjut diklinik kami