Klinik Temasya
BLOG (Versi BM)

Gangguan tidur insomnia

By
Updated on:

Sukar tidur? Anda tidak bersendirian. Lebih kurang 35% rakyat Malaysia mempunyai masalah sukar tidur atau insomnia dan 12.2% mengalami insomnia kronik iaitu gangguan tidur yang berpanjangan. Insomnia adalah masalah tidur yang lazim dilaporkan di klinik GP dan ramai yang menderita gangguan tidur pada satu tahap dalam kehidupan mereka. Antara gejala insomnia adalah sukar untuk tidur, bangun dari tidur dan kemudiannya sukar untuk kembali tidur atau bangun terlaku awal dan rasa lesu semasa bangun dari tidur. Insomnia bukan sahaja menyebabkan kualiti tidur yang tidak baik tetapi boleh memberi kesan kepada kehidupan harian. Jangka masa panjang ia boleh menyebabkan pelbagai masalah fizikal dan mental seperti darah tinggi, obes, sakit jantung dan tekanan perasaan.

Insomnia boleh dikenalpasti secara klinikal berdasarkan gejala yang dilaporkan pesakit mengenai corak tidur dan gejala tersebut mestilah serius sehingga memberi kesan negatif dalam kehidupan harian. Insomnia diklasifikasikan sebagai kronik jika ia berlanjutan sehingga lebih dari sebulan. Insomnia boleh disebabkan oleh kesihatan dalam tubuh, masalah psikologi dan faktor persekitaran. Doktor yang merawat anda akan mengenalpasti faktor risiko, masalah kesihatan fizikal, sejarah kesihatan mental serta pengambilan ubat-ubatan.

Terdapat banyak penyebab insomnia antaranya adalah:

  • Tekanan dari persekitaran akut dan kronik (disebabkan faktor pekerjaan seperti kerja shif, hubungan peribadi, masalah kewangan dan jet lag)
  • Gaya hidup tidak sihat (merokok, tidur berlebihan pada waktu siang, penggunaan komputer dan telefon pintar yang berlebihan)
  • Pengambilan minuman berkafein tinggi dan minuman bergas, makanan yang manis seperti coklat
  • Kesan sampingan ubat- ubatan termasuklah ubat kurus dan darah jenis terlarang
  • Penyakit jantung, paru-paru (seperti asthma)
  • Masalah hormon seperti kencing manis, tiroid yang berlebihan, putus haid (menopause), kehamilan 
  • Masalah gastrik refluks
  • Masalah nyanyuk (Alzheimer's)
  • Sakit kronik dan kegatalan teruk seperti sakit sendi lutut dan penyakit kulit seperti ekzema
  • Kanser
  • Masalah kesihatan mental seperti tekanan, kerisauan berlebihan dan psikosis
  • Gangguan tidur seperti apnea tidur

Rawatan insomnia bergantung kepada punca penyebab dan keterukan simptom. Ubat-ubatan yang biasa digunakan adalah seperti melatonin, ubat anti-histamine seperti Chlorpheniramine, ubat penenang jenis Benzodiazepine (Lorazepam) dan ubat tidur bukan-Benzodiazepine (Zolpidem). Penggunaan ubat-ubatan biasanya hanya lah untuk jangka masa pendek kerana jangka masa panjang boleh memberi kesan sampingan seperti lesu diwaktu siang, pening, kemerosotan fungsi motor badan dan ketagihan.

Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk membantu anda mendapatkan waktu tidur yang berkualiti antaranya:

  • Mengamalkan gaya hidup sihat dengan kerap bersenam dan berhenti merokok. Elakkan aktiviti bersukan 3-4 jam sebelum waktu tidur
  • Mengurangkan pengambilan kopi, teh, minuman bergas dan makanan manis
  • Elakkan makan terlalu banyak, merokok dan minum minuman keras sebelum waktu tidur
  • Padamkan telefon pintar, TV dan komputer sekurang-kurangnya 1 jam sebelum tidur. Cahaya biru daripada skrin boleh mengurangkan penghasilan hormon melatonin badan 
  • Pasangkan muzik yang menenangkan, bermeditasi serta membaca buku sebelum tidur
  • Elak menggunakan bilik sebagai tempat untuk bekerja
  • Aturkan jadual tidur yang tetap dan bangun pada waktu yang sama. Elakkan tidur berlebihan pada waktu siang 

Tidur yang cukup adalah penting untuk kesihatan tubuh badan, mental dan emosi. Insomnia menyebabkan anda cepat letih dan lesu, cepat marah dan prestasi merundum serta boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan jika tidak dirawat.

Get the Care You Deserve. Make Your Appointment Today

We focus on you. Schedule today to experience healthcare that's tailored to your needs.