Klinik Temasya
BLOG (Versi BM)

Herpes kelamin

By
Updated on:

Penyakit herpes kelamin adalah disebabkan jangkitan virus herpes jenis 1 dan 2. 

Jangkitan herpes pada mulut kebiasaannya disebabkan virus herpes jenis 1 menyebabkan benjol air atau lecet dikawasan sekitar mulut.  Pada kebanyakan orang, jangkitan virus herpes jenis 1 tidak menyebabkan sebarang gejala. Kebanyakan kes herpes jenis 1 yang positif adalah disebabkan jangkitan herpes semasa kecil dari sumber bukan seks seperti melalui air liur. Herpes jenis 1 boleh merebak dari mulut ke kemaluan melalui aktiviti oral sex. Itu lah sebab mengapa terdapat kes herpes kelamin yang disebabkan oleh virus herpes jenis 1 walaupun jangkitan herpes 2 adalah lebih lazim menyebabkan jangkitan herpes kelamin.

Herpes jenis 2 menyebabkan lecet dibahagian kemaluan atau dubur dan secara ekslusifnya disebabkan penyebaran melalui hubungan seks. Herpes jenis 2 menghasiljan gejala seperti benjol kecil yang mengandungi air ('vesicles') yang sakit  dan kemudiannya melecet. Ia nya mengambil masa antara 2 hingga 4 minggu untuk sembuh sepenuhnya. Pesakit mungkin akan mengalami rasa kebas, pedih atau sakit walaupun sebelum benjol air terjadi.

Terdapat 2 tahap jangkitan herpes kelamin. Jangkitan awal yang pertama dipanggil jangkitan herpes primer menyebabkan gejala yang lebih teruk pada 80% orang yang mengalaminya. Pesakit akan mendapat demam, letih, sakit badan, sakit kepala serta bengkak pada nod limfa. Benjol air juga boleh menyebabkan rasa pedih dan jika ia tumbuh berdekatan dengan laluan air kencing, ia boleh menyebabkan kesukaran membuang air kecil. Benjol air juga boleh menyebabkan kegatalan dan jika ia tidak dijaga akan menyebabkan jangkitan sekunder bakteria yang menghasilkan nanah dan kemerahan serta jangkitan yang tidak berkurangan. Atas sebab yang tidak diketahui, wanita mengalami gejala yang lebih teruk berbanding lelaki.

Selepas jangkitan primer, virus herpes akan memasuki fasa kependaman dimana virus tidak aktif di sel-sel saraf. Virus boleh teraktif kembali dan bergerak dari sel saraf ke bahagian sel kulit dikemaluan, dipanggil jangkitan sekunder. Ia mungkin tidak menyebabkan apa-apa gejala atau gejala yang sangat ringan. Bagaimana pun, virus masih lagi dikeluarkan dan terdapat risiko ia boleh tersebar kepada orang lain.

Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan virus teraktif kembali seperti jatuh sakit, jangkitan kuman lain, tekanan fizikal dan emosi, lemah sistem pertahanan badan, lecet atau luka pada kulit (contohnya selepas bercukur), pengaruh haba atau sejuk, haid dan aktiviti seks. Kadangkala virus teraktif kembali secara spontan tanpa sebab yang jelas. Seramai 90% pesakit mengalami virus teraktif kembali dalam masa satu tahun selepas jangkitan awal dan wanita mengalami lebih banyak episod berbanding lelaki.

Cara efektif untuk mencegah jangkitan herpes kelamin adalah mengelakkan aktiviti seks tanpa perlindungan. Penggunaan kondom mengurangkan risiko dijangkiti virus atau penyebaran virus kepada orang lain. Buat masa ini, tidak ada vaksin pencegah jangkitan herpes. 

Pengesahan jangkitan herpes kelamin boleh dilakukan melalui ujian darah untuk mengesan kehadiran antibodi terhadap virus herpes. Ubat anti-virus seperti Acyclovir dan Valacyclovir sangat efektif untuk merawat jangkitan herpes kelamin tetapi tidak akan menyembuh atau menghilangkan virus dalam badan. Kesan sampingan ubat anti-virus adalah loya, muntah, sakit kepala dan cirit- birit. Pesakit yang mengalami episod virus teraktif kembali lebih dari 6 kali memerlukan rawatan penumpasan (atau suppression therapy). Keselamatan dan keberkesanan penggunaan ubat anti-virus dalam jangka masa panjang telah terbukti untuk mengurangkan serangan virus dan mengurangkan risiko penyebaran kepada orang lain.

Get the Care You Deserve. Make Your Appointment Today

We focus on you. Schedule today to experience healthcare that's tailored to your needs.