Klinik Temasya
BLOG (Versi BM)

Vape dan kesan kepada kesihatan

By
Updated on:

Beberapa tahun kebelakangan ini,  penggunaan rokok elektronik (atau vape) telah menjadi tren yang sangat popular dikalangan golongan muda termasuk pelajar sekolah yang tidak pernah merokok. Ramai yang percaya bahawa kesan buruk menghisap vape adalah rendah berbanding rokok biasa. Ditambah pula dengan pelbagai jenis cecair vape yang diformulasikan dengan rasa dan bau yang menarik, membuatkan ramai golongan muda tertarik hati untuk mencuba. Ini adalah masalah yang sangat membimbangkan, ini kerana ramai golongan muda menghisap vape tanpa menyedari dan memahami kesan jangka masa panjang pada kesihatan mereka.

Penggunaan vape masih dikira agak baru dan tidak terdapat banyak penyelidikan perubatan yang jelas dan kukuh untuk menentukan kesan buruk jangka masa panjang pada kesihatan individu. Rokok vape mengandungi kurang bahan kimia toksik berbanding rokok biasa tetapi ia juga mengandungi bahan kimia merbahaya yang tidak ditemui dalam rokok biasa. Selain itu juga terdapat banyak formulasi serta kandungan berbeza rokok vape yang terjual dipasaran menyebabkan kesukaran menentukan bahan kimia mana yang boleh menyebabkan masalah kesihatan. Jangka masa pendedahan bahan kimia kepada sistem tubuh manusia juga sukar dinilai kerana terlalu banyak perbezaan antara kandungan rokok vape yang digunakan. 

Rokok vape yang mengandungi nikotin masih boleh menyebabkan ketagihan dan kesan tindak balas selepas penggunaan diberhentikan. Terdapat juga kes sawan selepas penggunaan rokok vape. Rokok vape yang mengandungi nikotin juga boleh menaikkan tekanan darah tinggi dan kadar nadi jantung. Terdapat kajian yang menunjukkan penggunaan vape dikaitkan dengan serangan jantung dan peyakit jantung koronari. Terdapat juka laporan kes dimana peningkatan gejala pernafasan seperti batuk, pernafasan bersiul ('wheezing'), sukar bernafas dan sakit dada berkaitan dengan penggunaan rokok vape. EVALI (e-cigarette or vaping use-associated lung injury) adalah kedadaan dimana terdapat radang teruk pada paru-paru disebabkan kecederaan kimia. Pengimbasan paru-paru pesakit yang menghidapi masalah pernafasan menunjukkan kecederaan akut paru-paru disebabkan penyedutan bahan kimia dalam bahan campuran aerosol yang terkandung dalam rokok vape.

Terdapat banyak lagi bukti dalam bentuk laporan kes menunjukkan rokok vape tidak seselamat seperti yang disangka ramai. Rokok vape mungkin adalah alternatif kurang risiko bagi perokok tegar yang ingin berhenti merokok. Bagaimanapun, ini bukan bermaksud tidak ada langsung risiko kesihatan penggunaan rokok vape walaupun ianya tidak mengandungi nikotin. Kesan jangka masa panjang mungkin memerlukan masa lebih lama untuk terbentuk. Adalah lebih baik untuk berhenti terus merokok dan juga vape. Jika anda mengalami kesukaran untuk berhenti merokok, berbincanglah dengan doktor anda mengenai kaedah dan rawatan yang boleh membantu and untuk mengubah kearah gaya hidup sihat.

Get the Care You Deserve. Make Your Appointment Today

We focus on you. Schedule today to experience healthcare that's tailored to your needs.