Klinik Temasya
BLOG (Versi BM)

Masalah seksual wanita

By
Updated on:

Masalah seksual wanita boleh didefinisikan sebagai faktor fizikal atau psikologi yang boleh mengganggu kepuasan seks wanita. Antara masalah seksual wanita adalah kurang nafsu atau minat untuk melakukan hubungan seks, sukar untuk mencapai ransangan orgasm dan sakit semasa penetrasi seks. Kurang nafsu seks dan kegagalan mencapai orgasm adalah masalah seksual wanita yang paling kerap dilaporkan dan seseorang wanita itu boleh mengalami beberapa masalah seksual pada satu masa yang sama.

Fungsi seksual seks wanita yang normal adalah sangat kompleks dan ianya berkait rapat antara keadaan fizikal dan juga minda seseorang itu. Dari aspek fizikal, fungsi saraf dan salur darah yang lancar serta sistem hormon yang seimbang adalah sangat penting untuk memastikan fungsi seksual wanita yang normal. Terdapat antara 20-50% wanita mengalami masalah seksual yang bukan sahaja merunsingkan tetapi boleh mengganggu keharmonian hubungan intimasi berpasangan.

Pertambahan usia serta perubahan tahap hormon seks terutamanya pada waktu sekitar putus haid ('perimenopausal') atau selepas putus haid ('menopause') boleh menyebabkan kekeringan pada vagina, kurang nafsu seks serta sakit semasa melakukan hubangan seks. Simptom kepanasan ('hot flashes') adalah perasaan panas yang melanda secara tiba-tiba yang terjadi pada wajah, leher dan dada sehingga menyebabkan rasa bahang, berpeluh, kemerahan pada kulit dan degupan jantung yang laju. Simptom kepanasan ini boleh berlaku pada waktu malam dan mengganggu waktu tidur menyebabkan kepenatan dan prestasi fizikal yang lemah. Proses perubahan hormon lain yang boleh terjadi kepada golongan wanita adalah penyusuan badan, kehamilan, kelahiran anak, penggunaan pil perancang dan terapi penggantian hormon ('hormone replacement therapy') juga boleh mengganggu fungsi seksual wanita.

Terdapat juga banyak faktor kesihatan umum dan kesan dari pembedahan yang boleh memberi kesan negatif pada fungsi seksual wanita. Contohnya masalah organ tubuh yang kurang berfungsi (sakit jantung, buah pinggang, hati), ketidakseimbangan hormon (kencing manis, tiroid, hormon prolaktin yang tinggi), masalah saraf (angin ahmar dan multiple sclerosis), pembedahan pelvis (bersalin caesarean, pembuangan rahim) dan terapi radiasi pada organ pelvis untuk rawatan kanser.

Terdapat juga pelbagai ubat-ubatan yang boleh memberi kesan pada fungsi seksual wanita seperti ubat tekanan perasaan dan kegelisahan, ubat merawat sawan, ubat kanser seperti kimoterapi, ubat jantung dan darah tinggi, ubat tahan sakit yang mengandungi opioid serta ubat steroid.

Banyak penyakit pada organ reproduktif wanita antaranya endometriosis, ketumbuhan seperti fibroid, ovarian cyst , adenomyosis dan radang serta parut pada organ reproduktif dalaman wanita disebabkan jangkitan penyakit kelamin seperti Chlamydia dan Gonorrhoea serta masalah sakit semasa penetrasi (atau vaginismus) yang boleh memberi kesan pada kesihatan seks wanita.

Selain itu, faktor psikologi seperti stress, tekanan fizikal dan emosi, penat bekerja, kegelisahan yang melampau, sejarah gangguan trauma seks (PTSD) dan gaya hidup tidak sihat seperti merokok, obes, minuman keras, kurang bersenam serta masalah hubungan antara pasangan disebabkan konflik, komitmen pada keluarga, masalah kewangan dan komunikasi serta kurang tarikan pada pasangan juga boleh menyebabkan masalah seksual wanita.

Terapi masalah seksual memerlukan doktor mengambil sejarah kesihatan, penggunaan ubat- ubatan, hubungan intimasi pesakit dan melakukan pemeriksaan fizikal lengkap untuk mengenalpasti punca permasalahan seksual. Rawatan bergantung kepada punca masalah seksual termasuklah ubat- ubatan seperti penenang otot, krim kebas, krim estrogen, Tibolone, hormon testosterone serta penggunaan pelincir dan pelembap vagina. Cara lain adalah penggunaan dilator untuk vagina, senaman otot lantai pinggul atau senaman Kegel, terapi seks dan penggunaan alatan seks seperti vibrator.

Masalah seksual wanita boleh memberi implikasi serius kepada hubungan intimasi serta kesukaran atau lambat untuk hamil. Walaupun masalah seksual boleh berlaku dalam hubungan pasangan yang normal disebabkan pelbagai faktor luaran, masalah seksual yang kerap dan berpanjangan memerlukan komunikasi terbuka bersama pasangan serta rawatan yang bersesuaian dengan doktor yang berpengalaman.

Get the Care You Deserve. Make Your Appointment Today

We focus on you. Schedule today to experience healthcare that's tailored to your needs.